Gambar Hiasan |
PETALING JAYA - Polis menyelamatkan seorang pembantu rumah warga Indonesia yang dipercayai dieksploitasi sebagai hamba seks oleh seorang lelaki warga emas di rumahnya di Subang Jaya di sini, Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Mohammad Azlin Sadari berkata suspek berumur 69 tahun itu yang ditahan pada Rabu lepas, direman sehingga Rabu.
Dia merupakan majikan kepada wanita malang itu yang bekerja di rumahnya sejak empat tahun lalu.
"Mangsa berusia 25 tahun mempunyai dokumen perjalanan diri sah tinggal dirumah suspek sejak 2012 bersama seorang lagi pembantu rumah warga Indonesia dan kita percaya mangsa telah dijadikan hamba seks sejak itu.
"Bagaimanapun, seorang lagi pembantu rumah tersebut yang tidak mempunyai dokumen perjalanan sah tidak diperlakukan sebagai hamba seks," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya, di sini pada Selasa.
Beliau berkata suspek dikatakan turut merakam video perbuatan jijiknya ke atas pembantu rumah terbabit.
Mohammad Azlin berkata polis turut menahan anak perempuan suspek berusia 30 tahun bagi membantu siasatan kes itu, namun dibebaskan dengan jaminan polis.
Katanya kedua-dua pembantu rumah terbabit tinggal di rumah itu bersama suspek dan isterinya yang berada dalam keadaan koma di rumahnya sejak lima tahun lalu.
"Mangsa telah dihantar ke Kedutaan Indonesia sebelum ke rumah perlindungan saksi di Johor Baharu untuk tindakan selanjutnya," katanya.
Mohammad Azlin berkata polis turut merampas cakera keras, tujuh kad memori dan dua cakera padat yang dipercayai mengandungi rakaman perbuatan suspek keatas mangsa.
Sumber: mStar