Seorang pereka grafik Hong Kong mencipta robot bersaiz manusia menyerupai aktres Hollywood, Scarlett Johansson yang akan mengenyitkan mata dan ketawa apabila dipuji sangat comel.
Seperti kanak-kanak lain yang sarat dengan imaginasi dari filem animasi, Ricky Ma membesar dengan menonton cerita kartun pengembaraan robot dan mengimpikan untuk menciptanya apabila dewasa kelak.
Ma akhirnya berjaya merealisasikan impiannya itu pada usia 42, dengan membina robot bersaiz manusia hanya di beranda rumahnya.
Kerja keras selama setahun setengah dan bajet melebihi AS$50,000 (RM194,797), Ma menghasilkan satu prototaip robot wanita yang dinamakan Mark 1.
Meskipun mengakui robot itu dibina menyerupai bintang Hollywood berkenaan tetapi dia enggan menamakan rekaannya itu Scarlett.
Lebih menarik, robot itu memberi reaksi kepada satu set program arahan lisan yang dituturkan menggunakan mikrofon.
“Saya perlu melakukannya apabila masanya sesuai dan merealisasikan impian itu.
“Sekiranya saya berjaya mencapai impian itu, tiada apa yang perlu dikesalkan dalam hidup saya,” kata Ma yang terpaksa mempelajari bidang yang serba baru bagi dirinya sebelum memulakan projek mencipta gajet rumit itu.
Selain pergerakan mudah lengan dan kaki, memusingkan kepala dan menunduk, robot ciptaan Ma dengan rambut berwarna perang, bercelak mata serta memakai skirt kelabu dan blaus, juga boleh membuat mimik muka.
Sebagai reaksi kepada pujian seperti ucapan: “Mark 1 anda sangat cantik”, kening dan otot di sekitar matanya dan hujung bibirnya, akan membentuk seolah ia tersenyum dan berkata, “Terima kasih”.
Di bawah kulit silikon Mark 1 yang membalut semua komponen mekanikal dan elektronik, terdapat hampir 70 peratus rangka yang dibina menggunakan teknologi cetakan 3D.
Ma memberitahu, dia sebenarnya keseorangan sepanjang mencipta Mark 1.
“Sepanjang proses mencipta robot ini, ramai yang mempersendakan saya dengan berkata: ‘Adakah anda bodoh? Ia menggunakan begitu banyak wang.’”
Menggunakan kaedah cuba ralat, Ma berdepan dengan pelbagai cabaran, dari motor elektrik terbakar hingga robot hilang keseimbangan dan terjatuh.
Ma, yang percaya kepentingan robot dalam kehidupan akan meningkat, berharap pelabur akan membeli prototaip robotnya itu. -Agensi