"Lelaki Sama Umur Tak Berani Kawan Dengan Saya..."

Farahdhiya
NAIB juara program Gegar Vaganza, Farahdhiya mengakui bahawa status solonya menyebabkan banyak pihak yang beranggapan dirinya bersikap memilih pasangan hidup.

Malahan ada yang mendakwa kaum Adam sendiri tidak berani mendekatinya kerana dia ibarat konon terlalu high maintenance.

“Saya tidak tahu kenapa ada yang mendakwa saya sebagai wanita high maintenance sampai lelaki yang sama umur dengan saya pun jadi tidak berani nak berkawan dengan saya.

“Kenapa perlu jadi skeptikal dan saya tak faham kenapa diadili sebegitu. Tak kenal maka tak cinta, jadi kenallah saya dahulu baru akan tahu diri saya yang sebenar,” katanya.

Menerusi laman Berita Harian Online, dia menjelaskan bahawa tuntutan kerja menyebabkan dia harus menjaga penampilan dan mengakui di luar dia menyukai kehidupan yang biasa.

“Tuntutan kerja dalam dunia glamor memerlukan saya untuk bergaya dan sentiasa nampak cantik. Saya cintakan kehidupan normal yang biasa selain bidang seni.

“Saya bukan merungut tetapi tuntutan kerja menyebabkan saya perlu kelihatan cantik dan glamor”, jelasnya.

Tambahnya, dia merupakan wanita biasa dan apabila berada di rumah, dia boleh dikatakan seperti bibik yang selalu memasak dan pergi ke pasar sehingga pernah dipandang serong oleh orang di pasar. –Kedahnews.com