Mahkamah Australia Dedah Barangan Mewah Dibeli Pelajar Malaysia

Christine Jiaxin Lee
PETALING JAYA - Seorang pelajar Malaysia di Australia yang telah diberikan wang A$4.6 juta (RM13.8 juta) oleh bank secara tidak sengaja didakwa telah membelanjakan wang itu dengan jumlah yang banyak untuk membeli beg tangan berjenama, pakaian, barang kemas, malah pembersih vakum 'deluxe'.

Sydney Morning Herald pada Ahad mengeluarkan senarai panjang transaksi pelajar berusia 21 tahun, Christine Jiaxin Lee yang didakwa dibuat olehnya dengan wang yang dimasukkan oleh Westpac, bank yang secara tidak sengaja memberikan overdraf bank tanpa had ke dalam akaunnya.

Dilaporkan bahawa dalam keadaan tertentu, pelajar kejuruteraan kimia itu akan membelanjakan sehingga A$310,000 (RM930,000) dalam sehari untuk lima butik berjenama, berdasarkan dokumen mahkamah.

Lee telah diberikan overdraf tanpa had apabila dia membuka akaun bank dengan Westpac Bank pada bulan Ogos 2012, tetapi hanya menyedari perkara ini pada Julai 2014.

Dia menghabiskan sejumlah A$4.6 juta (RM13.8 juta) dalam beratus-ratus transaksi pakaian berjenama dan beg tangan dalam tempoh 11 bulan seterusnya dan tinggal di sebuah penthouse mewah di Sydney, Australia.

Dilaporkan, dia pada mulanya menggunakan akaun PayPal untuk membeli barangan secara online tetapi akhirnya memindahkan wang ke akaun bank lain dan menggunakannya untuk berbelanja secara mewah sebanyak 20 kali pada awal tahun 2015, dengan perbelanjaan berjumlah A$1.2 juta (RM3.6 juta).


Lee ditahan di lapangan terbang Sydney minggu lalu selepas dia mendapat pasport kecemasan untuk terbang pulang ke Malaysia.

Dia didakwa kerana secara tidak jujur mendapatkan manfaat kewangan dengan penipuan dan sengaja berurusan dengan hasil jenayah.

Majistret Lisa Stapleton dilaporkan telah menyatakan keraguannya tentang tuduhan terhadap Lee, menyatakan bahawa dia tidak melanggar undang-undang.

Walau bagaimanapun, dilaporkan bahawa Lee berulang kali cuba mengelak daripada bank, polis dan mahkamah sebelum penahanannya.

Pada April 2015, Westpac menyedari kesilapan mereka dan segera membekukan akaun Lee dan memberikan notis yang dikeluarkan mahkamah di mana dia menyerahkan 27 barangan mewah bernilai kira-kira A$1 juta (RM3 juta).

Mahkamah Agung Australia kemudian mengeluarkan perintah membenarkan Westpac untuk menyita sebarang aset untuk membayar balik baki hutang dan selepas tujuh percubaan untuk menghubunginya, beliau telah diberikan satu notis bankrap dan saman di Mahkamah Persekutuan.

Lee tidak hadir di mahkamah dan juga hilang dari apartmennya.

Polis kemudian mengeluarkan waran penahanannya pada bulan Mac, masa yang hampir sama apabila dia memohon pasport kecemasan.

Sumber: mStar