Mahu Pasang Papan Tanda Geo Tapak Di Gunung Pulai

Pegawai Jabatan Mineral dan Geo Sains membuat tinjauan di salah sebuah gua, kelmarin.
BALING - Satu papan tanda geo tapak akan dipasang di kaki Gunung Pulai bagi memberi maklumat kepada pelancong dan orang awam mengenai kepentingan geo warisan di kawasan berkenaan.

Pegawai Kanan Jabatan Mineral dan Geo Sains Negeri Kedah/Perlis/Pulau Pinang, Nur Susile Md Said berkata, papan tanda berkenaan bakal dipasang pada tahun ini dan perkara itu sudah dipersetujui oleh majlis daerah.

Menurutnya, struktur-struktur batu menarik merupakan salah satu keistimewaan yang terdapat di gunung berkenaan.

“Di sini terdapat kesan takik laut kuno, stalagtit, stalagmit, kolum, karen, langsir gua dan struktur bunga yang dapat dilihat di Gunung Pulai.

“Dahulu kawasan ini adalah lautan, air laut di kawasan ini berkemungkinan surut dalam anggaran 7000 tahun lalu,” katanya.

Nur Susile berkata, kawasan pergunungan itu sesuai dibangunkan bagi masyarakat setempat dan luar.

“Banyak aktiviti yang sesuai dijalankan di kawasan ini seperti mendaki gunung, menerokai gua dan lain-lain,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Persatuan penaja Alam Sekitar Gunung Pulai daerah Baling, Kedah,Rozni Mohd Rosdi berkata, pihaknya menyambut baik tindakan Jabatan Mineral dan Geo Sains Perlis, Kedah, Pulau-Pinang untuk menaik taraf Gunung Pulai sebagai tempat warisan sejarah dan geo sains.

Menurutnya, penduduk terutamanya mereka yang terlibat dalam persatuan bergotong-royong bagi memastikan kawasan gunung itu terpelihara.

“Harapan persatuan penaja Gunung Pulai Baling Kedah agar tempat ini terpelihara dan berterusan menjadi khazanah negeri dan negara.

Kami juga berharap semua pihak terlibat memberi sokongan dan kerjasama untuk membangunkan kawasan ini,” katanya.

Sumber: Sinar Harian