Mat Sabu Ajak Hadi Sama-Sama Ukur Baju Sendiri

Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu
SELAYANG - "Sama-samalah kita ukur baju sendiri. Kalau kita hendak buat baju warna pink ukurlah warna pink tiada masalah itu."

Demikian tutur Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu tatkala diminta mengulas ‎mengenai kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menyarankan agar mana-mana parti yang mahu bertanding di Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar agar mengukur baju di badan sendiri.

Kenyataan Abdul Hadi itu dipercayai merujuk kepada hasrat Amanah yang mahu bertanding pada PRK sama ada di Parlimen Sungai Besar atau Kuala Kangsar.

Menurut Abdul Hadi, Pas mempunyai sokongan akar umbi yang kuat di kawasan tersebut dan akan meletakkan calonnya di kedua-dua kerusi tersebut.

“Sepatutnya semua pihak yang mahu perubahan di negara ini menghormati kedudukan Pas. Jangan nak berebut.

“Pas berpijak di bumi nyata di Kuala Kangsar dan Sungai Besar. Sepatutnya mereka (parti yang mahu bertanding) mengukur baju di badan sendiri,” katanya kepada media, semalam.

Ketika ditanya adakah beliau atau Timbalannya, Salahuddin Ayub akan bertanding di mana-mana kerusi PRK, Mat Sabu berkata, perkara itu belum diputuskan lagi.

"‎Kami belum putuskan siapa calonnya, tunggu mesyuarat Pakatan Harapan, kerana bagi kami siapa-siapa sahaja boleh menjadi calon.

"Kami dalam PH usaha agar tiada pertindihan calon seperti berlaku di Sarawak  selain itu PH tiada  upaya untuk kendalikan parti-parti lain supaya jangan  bertanding,"katanya ‎pada sidang medianya di Wisma Amanah, Kuala Lumpur hari ini.

‎Pilihan raya kecil diadakan berikutan kematian Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Wan Muhammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dan Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi yang juga Ahli Parlimen Sungai Besar, Datuk Noriah Kasnon dalam nahas helikopter pada 5 Mei di Sebuyau, Sarawak.

Pada Pilihan Raya Umum 2013, Wan Muhammad Khair-il, daripada Barisan Nasional, mengalahkan calon PAS, Khalil Idham Lim Abdullah dan Datuk Kamilia Ibrahim (Bebas) dengan majoriti 1,082 undi, manakala Noriah mengekalkan kerusinya setelah mengalahkan calon Pas, Mohamed Saleh M Hussain dengan 399 undi.

Sumber: Sinar Harian