SEMAKIN hampir dengan tarikh pelancaran, semakin banyak pula gambar Proton Perdana 2016 yang "bocor" tersebar di laman-laman internet dan media sosial secara meluas dengan imej-imej yang jelas.
Walaupun sudah banyak gambar model baru itu tersebar, namun pihak Proton Edar masih lagi tidak mengumumkan tarikh pelancaran rasmi bagi model tersebut.
Model Proton Perdana 2016 kali ini khabarnya didatangkan dengan dua variasi iaitu 2.0L dan 2.4L.
Buat masa ini model baharu Perdana itu masih menggunakan enjin Honda Accord manakala enjin baharu dijangka akan dipasang pada tahun hadapan.
Selain itu, menurut sebuah portal tempatan, model Perdana 2016 itu akan dijual pada harga RM100,000 hingga RM150,000.
.
Tambah portal itu lagi, Perdana 2016 memiliki ukuran 5,020 milimeter (mm) panjang, 1,845 mm lebar dan tinggi 1,475 mm. Manakala jarak roda pula 2,800 mm serta tangki bahan api berkapasiti 70 liter.
Selain itu, ia juga dihiasi dengan kit badan termasuk skirt sisi dan spoiler di bahagian belakang.
Malah menurut pemerhatian kami semasa menghadiri majlis pra-tonton model ini, lampu belakang juga dipertingkatkan dengan penggunaan lampu jenis light-emitting diode (LED).
Aspek keselamatan juga ditikberatkan bagi model Perdana 2016 ini, ia turut dilengkapi dengan bantuan parkir termasuk pengesanan di bahagian hadapan dan belakang serta ditampilkan juga Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC) bersama Anti-lock Braking Systems (ABS) dan Electronic Brake force Distribution (EBD).
Jelas laman itu lagi, Proton turut mengesahkan, model itu tidak disertakan dengan sistem kemasukan kunci pintar untuk kedua-dua jenis model itu.
Tambahnya lagi, kemasan dalaman bagi model itu ditawarkan dengan dua warna berbeza iaitu beige untuk model 2.4L manakala hitam untuk model 2.0L.
Selain spesifikasi di atas, ia juga didatangkan dengan enam pilihan warna iaitu Graphite Grey, Sterling Silver, Ruby Red, Cotton White, Midnight Black dan Citrine Gold. – Kedahnews.com