Pertarungan pusingan pertama musim lawan lembu di Sepanyol tahun ini menyaksikan ramai matador berdepan kesukaran menewaskan lawan masing-masing.
Secara tradisi musim lawan lembu di negara itu bermula pada Hari Easter dan acara itu berlangsung serentak di seluruh negara.
Imej dari beberapa gelanggang lawan lembu di Sepanyol dan selatan Perancis menunjukkan matador dihumban dan dirodok oleh lembu jantan yang dijadikan umpan di gelanggang.
Ketika ribuan penonton bersorak menyaksikan matador membunuh haiwan berkenaan, puluhan aktivis hak asasi haiwan berkumpul membantah sukan kejam itu.
Sekumpulan lelaki dan wanita berbaring di dataran di Madrid dengan hanya berpakaian dalam berwarna hitam serta dilumur dengan darah tiruan dan cat merah.
Dengan lagak seperti lembu yang mati di gelanggang, kumpulan itu mendesak tradisi laga lembu dihentikan walaupun ramai yang menganggapnya acara sukan dan sebahagian daripada warisan penting Sepanyol.
Wang palsu dan pasir juga ditabur di sekeliling mereka sebagai simbol ia diperoleh daripada penonton yang menyaksikan acara itu.
Bantahan itu dibuat beberapa hari selepas beribu-ribu peminat berarak di Valencia bagi mempertahankan sukan lawan lembu yang mereka sifatkan satu budaya.
Pihak berkuasa Valencia berkata, lebih 10,000 peserta berarak ke sebuah gelanggang lawan lembu di bandar itu.
Perarakan itu dibuat selepas ahli parlimen Kesatuan Eropah menentang penggunaan subsidi ladang bagi menternak lembu untuk digunakan dalam sukan lawan lembu.
Sumber: myMetro