KETIKA zaman kegemilangan ilmuwan Islam sekitar tahun 8 hingga 16 Masihi, tokoh-tokoh seperti Ibnu Sina, Al-Khawarizmi dan Al-Biruni begitu dihormati dengan penemuan dalam bidang sains dan teknologi. Dengan berpegang kepada al-Quran dan hadis, kajian dan ciptaan mereka bukan sahaja diiktiraf oleh orang Islam tetapi juga dikagumi golongan bukan Islam.
Bagaimanapun, hari ini bidang sains dilihat bukan lagi ‘milik’ umat Islam sebaliknya saintis Barat lebih ke hadapan dalam membuat kajian dan penyelidikan serta menghasilkan rekaan baharu serta moden.
Ironinya, sebahagian besar penemuan mereka itu sama ada sudah diteroka oleh sarjana Islam terdahulu atau sememangnya terkandung di dalam al-Quran namun berjaya ditemukan hasil kesungguhan mereka mengkaji kitab itu.
Bagi Ketua Kluster Sains dan Matematik Majlis Profesor Negara (MPN), Prof. Dr. Mohd. Sahar Yahya, kurangnya penglibatan orang Islam dalam bidang sains merugikan mereka kerana ini menyebabkan mereka gagal mempelajari dan memahami ilmu baharu.
Jelas beliau, dengan penemuan sains dan teknologi berlaku saban hari, umat Islam akan ketinggalan dan hanya menjadi golongan pengguna yang berharap kepada hasil ciptaan orang lain.
“Kalau kita tidak mampu menguasai bidang sains, kita tidak akan berupaya membuat rekaan sendiri. Maka, kita akan sentiasa menjadi pengguna dan diperkotak-katikkan oleh mereka yang lebih maju.
“Ilmu sains sentiasa bergerak dan berubah. Kalau dalam kalangan 1.8 bilion umat Islam di seluruh dunia cuma ada kurang 10 peratus menguasai sains, bermakna orang Islam gagal untuk memahami apa yang terkandung di dalam al-Quran,” katanya.
Beliau berkongsi pendapat itu ketika menjadi ahli panel dalam Program Advokasi Ilmuwan bertajuk ‘Umat Islam Menolak Sains?’ di Dewan Tuanku Canselor di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Nilai, Negeri Sembilan, baru-baru ini.
Program anjuran MPN bersama Utusan Malaysia dan Radio Televisyen Malaysia itu dikendalikan oleh Penolong Ketua Pengarang 1 Kumpulan Utusan, Datuk Zaini Hassan.
Mengulas lanjut topik tersebut, Mohd. Sahar berkata, amat mengecewakan apabila bidang sains tidak menjadi keutamaan di negara-negara Islam walaupun saintis Islam yang paling awal menemukan dan menghasilkan ciptaan baharu sejak ratusan tahun dahulu.
“Negara-negara Islam yang kaya tidak memberi fokus kepada sains dan ini terbukti apabila tidak ada universiti besar untuk penyelidikan walaupun mereka banyak duit. Sebagai contoh di Arab Saudi tiada balai cerap yang setanding dengan kemudahan yang terdapat di New Zealand,” katanya.
Sebagai perbandingan, katanya, di Jepun setiap kali ada jurnal sains diterbitkan dalam bahasa asing, ia diterjemah ke dalam bahasa ibunda mereka sekali gus memudahkan masyarakat memahami pengetahuan baharu di dalam jurnal berkenaan.
“Dia negara kita, tidak ada badan penterjemah yang menjalankan tugas itu menyebabkan masyarakat tidak sedar dan enggan mempelajarinya kerana ia terlalu susah untuk difahami,” jelasnya.
Dalam pada itu, bagi Naib Canselor USIM, Prof. Datuk Dr. Musa Ahmad, hasrat untuk melahirkan pemenang anugerah Nobel yang boleh dibanggakan dalam kalangan umat Islam terutama dari negara ini boleh dicapai.
Beliau memberitahu, penubuhan USIM sendiri adalah bertujuan melahirkan golongan saintis yang mampu mengangkat nama Islam melalui integrasi ilmu Naqli (bersumberkan al-Quran) dan Aqli (bersumberkan akal).
Jelasnya, universiti tersebut berperanan membina sahsiah pelajar yang seimbang dalam bidang agama dan sains bermula dari peringkat kanak-kanak menerusi program Permata Insan sehingga ke peringkat ijazah doktor falsafah (Ph.D).
Jelasnya, melalui program itu hanya kanak-kanak yang memiliki IQ melebihi 150 ke atas akan dipilih untuk digilap potensi mereka di universiti itu.
“Ilmuwan Islam seperti Ibnu Sina hafal al-Quran pada umur 10 tahun dan menguasai pelbagai cabang ilmu seperti perubatan dan kimia kerana beliau memahami al-Quran dengan mendalam. Itu adalah resipinya yang perlu diikuti.
“Sebab itu, di USIM, kita sudah memiliki pelajar aliran sains tetapi boleh menjadi imam dan boleh membaca al-Quran dengan begitu baik,” katanya yang merupakan salah seorang ahli panel program itu.
Seorang lagi ahli panel iaitu Pengarah Institut Islam Hadhari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Mohd. Yusof Othman berkata, masih ramai umat Islam yang gagal memahami kaitan antara sains dan ajaran agama itu sehingga mereka berfikir secara jumud.
Katanya, disebabkan itu, ramai yang cepat melabel dan mengharamkan sesuatu perkara dan rekaan baharu yang dihasilkan oleh saintis tanpa berlandaskan hujah dan pengetahuan mendalam.
“Sebagai contoh, ada yang menganggap muzik itu negatif dan dikaitkan dengan pergaulan bebas, dadah dan maksiat sedangkan yang salah adalah perlakuan dan perbuatan itu bukannya muzik.
“Hakikatnya, ramai yang tidak tahu bahawa ilmuwan Islam, Al-Farabi memperkenalkan muzik sebagai salah satu kaedah terapi emosi bagi mengatasi masalah susah tidur dan tekanan,” jelas pakar fizik itu.
Tegasnya, umat Islam sebenarnya sangat dekat dengan sains kerana penentuan arah kiblat untuk solat sendiri memerlukan kita mempelajari dan mengetahui tentang ilmu berkaitan sains dan alam.
Beliau turut menekankan sains dan agama perlu berjalan seiring kerana ia akan melengkapkan kehidupan manusia yang dicipta Allah untuk memakmurkan muka bumi.
“Manusia adalah khalifah yang dijadikan bukan sekadar berperanan untuk beramal tetapi juga membangunkan alam melalui ilmu pengetahuan,” ujarnya.
Mengulas mengenai pembelajaran sains di negara ini, beliau menegur dasar pendidikan sains yang kerap berubah-ubah sehingga menimbulkan masalah kepada pelajar dan guru.
Katanya, bahasa Melayu juga bukan penghalang untuk pelajar cemerlang dalam bidang sains kerana ilmu tersebut lebih mudah dikuasai dengan menggunakan bahasa ibunda pelajar.
Sumber: Utusan