REKA bentuk Muzium Ordos yang unik dan luar biasa. |
Bandar Ordos di Inner Mongolia, China dibina sebagai kota metropolitan moden lengkap dengan seni bina menarik dan mampu menempatkan sejuta penduduk.
Bagaimanapun, bandar berkenaan gagal menarik kedatangan penduduk sehingga ia mendapat gelaran sebagai bandar hantu paling besar di China.
Jurugambar dari Shanghai, Raphael Olivier berkunjung ke Ordos untuk merakamkan gambar bandar itu dan dipamerkan dalam siri gambar yang bertajuk ‘Syurga Yang Gagal’.
Gambar yang dirakam Olivier, menunjukkan pemandangan bandar sepi di Ordos, terbiar dan hampir keseluruhan tanpa penghuni.
SEORANG penduduk tempatan berjalan di depan bangunan yang sunyi. |
Pembinaan bandar itu bermula pada 2004 dan berterusan sehingga sekitar 2012. Ia direka untuk dinobatkan sebagai bandar gemilang di Inner Mongolia.
Walaupun, dilengkapi dengan infrastruktur dan struktur seni bina yang menakjubkan, pembeli hartanah memutuskan untuk menjauhkan diri.
Ramai yang mengatakan kenaikan harga rumah di kawasan itu menjadi punca utama Ordos kurang popular, sementara yang lain berpendapat bandar itu terpencil.
Kira-kira 100,000 penduduk menghuni bandar untuk sejuta orang itu.
BANGUNAN dengan reka bentuk luar biasa yang terbiar. |
Bandar yang terletak di pinggir rizab arang batu itu mempunyai beberapa bangunan luar biasa seperti Muzium Ordos, yang besar dan berkilauan.
Ia turut mempunyai pelbagai gaya seni bina canggih, kerana idea asalnya adalah untuk mengalu-alukan cadangan reka bentuk dari arkitek dari seluruh dunia.
Dalam percubaan terdesak untuk memenuhkan beribu-ribu rumah di bandar itu, kerajaan menawarkan kepada petani tempatan pampasan tinggi dan juga apartmen percuma.
Namun, usaha itu kurang berjaya apabila hanya kira-kira dua peratus bangunan di bandar itu pernah dihuni dengan selebihnya terbiar mereput.
Bandar itu pernah menjadi tumpuan dunia pada Ogos 2012 apabila ia secara tidak disangka dipilih menjadi tuan rumah pertandingan ratu cantik, Miss World.
Pelancong dan penduduk tempatan kadang-kadang dilihat berjalan di sekitar bandar itu, kerana kualiti udaranya bersih berbanding Beijing dan Shanghai.
Masih terdapat harapan bahawa suatu hari nanti bandar ini akan dipenuhi dengan penduduk, namun, harapan itu dilihat masih jauh untuk menjadi kenyataan.
Sumber: myMetro