Panggilan Bom Palsu: Ahli Perniagaan Ditahan Di Batu Caves

Gambar Hiasan
KUALA LUMPUR – Polis menahan seorang ahli perniagaan yang dipercayai membuat panggilan mendakwa terdapat bahan letupan di dalam sebuah pesawat komersial menuju ke Singapura kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Datuk Mohd Adnan Abdullah berkata lelaki berusia 41 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Taman Bukit Permata, Batu Caves dekat sini, pada pukul 8 pagi semalam.

“Motif sebenar suspek membuat panggilan itu masih belum diketahui dan suspek akan direman esok untuk siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi Bernama semalam.

Mohd Adnan berkata kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan kerana membuat ugutan jenayah.

Semalam, sebuah pesawat komersial menuju ke Singapura terpaksa berpatah balik selepas menerima panggilan yang mendakwa terdapat bahan letupan di dalam pesawat berkenaan.

Pesawat yang membawa 30 penumpang dan empat kru itu berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang dekat sini, pada pukul 7.39 malam. – BERNAMA