PAS Bertanding "Solo" Di PRK Sungai Besar, Kuala Kangsar

Datuk Seri Abdul Hadi Awang
KOTA BHARU - PAS tidak akan melibatkan dirinya dengan Pakatan Harapan dalam usaha untuk merampas kerusi Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar daripada Barisan Nasional (BN), kata presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Kerjasama dengan gabungan parti pembangkang itu tidak akan berhasil kerana Pakatan Harapan telah gagal untuk berkerjasama dalam pilihan raya negeri Sarawak, katanya.

"PAS tidak menjangkakan apa-apa daripada Pakatan Harapan. Kami akan bertanding sendiri untuk kedua-dua kerusi Parlimen.

"Kami telah bertanding di kerusi-kerusi itu sejak Merdeka dan kami mempunyai hak mutlak untuk bertanding di kedua-dua kerusi.

"Mana-mana parti daripada pihak pembangkang perlu mengukur kekuatan sendiri," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat PAS bahagian Pengkalan Chepa, Sabtu.

Mengenai Presiden Amanah, Mohamad Sabu yang berkata parti serpihan PAS itu akan bertanding di kedua-dua kerusi, Abdul Hadi bersetuju bahawa kemasukan mereka dalam kedua-dua PRK itu akan memecahkan undi pembangkang.

Bagaimanapun, beliau berkata PAS akan melakukan apa saja untuk merampas dua kerusi itu daripada BN dengan atau tanpa bantuan Pakatan Harapan.

Sumber: mStar