Pelajar Tiada Lesen Maut Lepas Bergesel, Rempuh Tiang Telefon

Mayat Muhd Syuhaimi dibalut dengan kain sebelum dibawa ke hospital.
KOTA KUALA MUDA - Gara-gara bergesel dengan motosikal rakan, seorang pelajar tingkatan tiga dari Sekolah Menengah Kebangsaan Kota Kuala Muda, di sini, maut, selepas terbabas dan melanggar tiang telefon, petang kelmarin.

Dalam kejadian, 2.45 petang itu, mangsa Muhd Syuhaimi Ismail, 15, dari Kampung Pulau Sayak, di sini, maut akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Md Zukir Md Isa berkata, kejadian itu berpunca daripada pergeselan antara motosikal dinaiki mangsa dan motosikal rakannya.

“Motosikal yang ditunggangi mangsa bergerak beriringan dengan motosikal rakannya dari sekolah yang sama menuju ke arah Pulau Sayak.

“Tiba di tempat kejadian, kedua-dua motosikal ini dipercayai bergesel akibat hilang kawalan sebelum terbabas,” katanya.

Beliau berkata, akibatnya, rakan si mati, Muhd Fatihah Abu Bakar, 16, merupakan pelajar tingkatan empat dari sekolah yang sama mengalami kecederaan di bahagian tangan dan kaki akibat terjatuh di bahu kanan jalan.

“Manakala, Muhd Syuhaimi terbabas ke kiri dan melanggar tiang telefon lalu jatuh dan mengalami kecederaan parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Difahamkan, dua pelajar ini tidak mempunyai lesen dan tidak memakai topi keledar," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim untuk bedah siasat.

Sumber: Sinar Harian