Pembalakan Di Kedah Hanya Di Kawasan Yang Dibenarkan

AHMAD Bashah menyerahkan bantuan sekolah kepada wakil Sekolah Agama Rakyat, semalam.
YAN - Kerajaan negeri menafikan tuduhan berlaku pembalakan haram di kawasan tadahan air di hutan simpan Ulu Muda sebaliknya pembalakan yang dijalankan itu berlaku di kawasan dibenarkan.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, tuduhan dibuat Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) itu adalah tidak benar kerana kawasan tadahan air di hutan simpan Ulu Muda tidak pernah diusik.

Menurutnya, sebaliknya pembalakan hanya dilakukan di kawasan yang dibenarkan malah ia (pembalakan) dilakukan untuk pembangunan tanah.

“Ada kawasan itu kita nak bangunkan menyebabkan ia perlu ditebang dan ia hanya berlaku dalam tempoh tiga bulan sahaja.

“Dalam tempoh tiga bulan ini apabila hujan ia akan menyebabkan air sungai sedikit keruh namun bukan tercemar dan selepas itu apabila kawasan itu kita bangunkan dengan tanam getah dan sebagainya perkara itu tidak akan berlaku lagi,”€ katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan bantuan sekolah agama di Sekolah Taufikiah Khairiah Al-Halimiah Batu 16 Kampung Padang Lumat, Guar Chempedak, dekat sini, hari ini.

Ahmad Bashah berkata, kejadian itu hanya bersifat sementara dan beliau sudah mengarahkan Jabatan Perhutanan serta Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LANK) memberi penjelasan berhubung isu itu.

Sebelum ini PBAPP meminta agensi persekutuan mengambil langkah proaktif untuk menghentikan kegiatan pembalakan di hutan simpan Ulu Muda di Kedah.

Sumber: myMetro