Pemuda UMNO Kedah Desak Mukhriz Dipecat Segera

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin
ALOR SETAR - Ketua UMNO Bahagian Jerlun, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir perlu segera dipecat dari UMNO kerana parti berkenaan tidak dapat menerima wujudnya pengkhianat di dalamnya.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, pucuk pimpinan parti perlu mengambil tindakan drastik tersebut tanpa bertangguh

"Kita harap dia (Mukhriz) dipecat dengan segera, tanpa membuat sebarang penangguhan.

"Kita tak dapat terima pengkhianat di dalam parti," kata Shaiful Hazizy dalam satu kenyataan kepada Kedahnews.com, semalam.

Shaiful Hazizy berkata, kenyataan bapa Mukhriz, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mahu Barisan Nasional (BN) tewas di dua Pilihan Raya Kecil (PRK) di Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar yang bakal berlangsung 18 Jun nanti adalah satu pengkhianatan terbesar dalam sejarah politik UMNO.

Beliau dalam kenyataannya turut mencabar Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Mukhriz untuk bersetuju dengan pendirian Mahathir yang dikatakan menjadi ketua kepada gerakan pengkhianatan tersebut.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Merbok itu juga turut bersimpati kepada seluruh ahli dan jawatankuasa UMNO di Bahagian Jerlun yang disifatkan terpaksa menanggung akibat bernaung di bawah seorang ketua yang khianat kepada parti.

"Saya amat sedihlah dengan keadaan ahli UMNO di Jerlun kerana terpaksa hidup dengan seorang pengkhianat di dalam kawasan parlimen mereka sendiri, mereka terpaksa menanggung.

"Saya tak sanggup tengok dah ahli UMNO di Jerlun terseksa, hidup dalam dilema, kita kena 'clear'kan kekaburan yang ada.

"Jadi kita kena pecat Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir, so Dato' Abu Hassan selaku Timbalan Ketua Bahagian memangku, so kita dapat mengagaskan gerakan parti untuk UMNO Bahagian Jerlun," tegasnya lagi.

Mukhriz sebelum itu turut dianggap sebagai pengkhianat perjuangan UMNO apabila bersekongkol dengan 'musuh tradisi' politik parti itu, DAP dan penasihatnya, Lim Kit Siang, dalam usaha menjatuhkan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, dari jawatan Perdana Menteri. -Kedahnews.com