Penerbit Hanya Pentingkan Pelakon Ada Rupa Sahaja – Bront

Bront Palarae
KEBELAKANGAN ini banyak pelakon baharu tumbuh bak cendawan mewarnai industri lakonan negara.

Namun, tidak semuanya hadir lengkap berpakej dengan bakat lakonan yang superb, sebaliknya mereka hanya dilihat sekadar seorang lagi pelakon berwajah cantik/kacak yang mahu cuba nasib dalam bidang perfileman dan drama tempatan.

Mengulas mengenai lambakan pelakon baharu itu, pelakon senior berkaliber, Bront Palarae berkata kebanyakan pelakon sekarang kurang berbakat adalah disebabkan salah penerbit itu sendiri.

“Saya tak rasa salah pelakon-pelakon baru dan sedar industri seni tanah air memerlukan mereka yang mempunyai paras rupa.

“Punca utama terletak pada pihak penerbit yang lebih gemar memilih mereka yang tidak mempunyai bakat lakonan. Siapa yang kacak dan cantik diberi keutamaan untuk membintangi sesebuah karya yang besar.

“Jika di luar negara, para pelakon dihantar ke kelas dan dari sudut memberi peluang, mereka diberi watak-watak kecil terlebih dahulu sebelum mampu untuk memegang watak yang lebih besar.

“Tapi kalau kita di Malaysia, seperti buka majalah cari barang perabot,” katanya dipetik portal Astro Gempak.

Sampai tahap begitu sekali Bront perli bakat pelakon-pelakon baharu ini.

Mungkin ada benarnya kata Bront, sebab kebanyakan pelakon sekarang dilihat kurang menjiwai watak yang telah diamanahkan kepada mereka.

Tidak macam pelakon dulu-dulu, biar rupa kurang kacak atau tidak secantik mana, namun penghayatan watak mereka memang terbaik. -Kedahnews.com