SERDANG - Sedih tanah yang diteroka sejak lebih 20 tahun lalu di Kampung Bukit Buluh, dekat sini, didakwa bakal dijadikan kawasan lombong seterusnya menutup terus periuk nasi kira-kira 16 peneroka.
Susulan itu, seramai 16 peneroka bertindak mengadakan demonstrasi aman membantah tindakan pihak berkenaan yang meratakan tanaman sawit yang diusahakan mereka di tanah rizab kerajaan.
Wakil peneroka, Abdul Hamid Osman, 62, berkata, kebanyakan peneroka sudah memohon untuk mendapatkan geran bagi membolehkan mereka mengusahakan tanah itu sebelum tahun 1992 lagi namun gagal.
Menurutnya, kerja-kerja meratakan tanaman sawit sudah dijalankan di beberapa kawasan tanaman peneroka sejak hujung Mac lalu.
"Apa yang kami kesalkan, tiada notis, rundingan mahu pun pampasan diterima peneroka.
"Malah kami mengetahui mengenai aktiviti meratakan tanah ini beberapa jam sebelum tindakan itu dibuat," katanya.
Abdul Hamid berkata, kebanyakan peneroka hanya bergantung kepada hasil sawit untuk kelangsungan hidup.
"Bila jadi macam ni, kami hilang pendapatan, kebanyakannya sudah pun mencecah usia warga emas untuk mencari kerja lain,” katanya.
Dalam perkembangan sama, peneroka juga telah menghantar memorandum kepada kerajaan negeri supaya menghentikan kerja-kerja melombong pasir di atas tanah lot 1903 dan lot 1907 awal tahun ini.
“Kami juga telah hantar memorandum bantahan supaya aktiviti lombong pasir tak diteruskan di sini kepada pejabat Menteri Besar dan wakil rakyat, tapi gagal.
“Aktiviti telah dimulakan pada hujung bulan Mac lalu, dan menyebabkan sesetengah peneroka mengalami kerugian kerana hasil sawit tak dapat dikutip,” katanya.
Status syarikat meragukan
Dalam nada sama, peneroka Abdul Halim Ismail, 59, mendakwa status syarikat yang mengendalikan projek tersebut juga mengelirukan.
“Kami telah membuat semakan di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) status syarikat yang akan menjalankan aktiviti lombong di kawasan itu juga mengelirukan.
“Kenapa PKB serahkan tanah ini kepada syarikat yang tidak ada kaitan pengalaman melombong pasir malah kami dapat tahu syarikat ini juga bakal dibatalkan oleh SSM,” katanya.
Tambahnya, diharap kerajaan negeri dapat membantu peneroka di sini supaya memberi semula tanah tersebut untuk penanaman kelapa sawit yang menjadi sumber pendapatan utama.
“Kami mohon sangat kerajaan negeri dapat membantu kami dan memberikan geran. Kebanyakan peneroka di sini tak ada sumber pendapatan lain,” katanya.
Penduduk tertekan
Dalam pada itu, K Bathmanathan, 60, juga mendakwa ramai peneroka mula jatuh sakit akibat susah hati tanah yang diusahakan mereka bakal hilang apabila pihak berkenaan menyerahkan kepada satu syarikat untuk dijadikan kawasan lombong pasir.
“Ada yang sakit strok akibat tekanan perasaan. Kami juga amat tertekan. Diharap pihak kerajaan dapat bantu selesaikan masalah kami ini.
“Kebanyakan tanah di sini diusahakan peneroka dengan kudrat sendiri sejak zaman ibu bapa malah telah memohon surat untuk memiliki geran sebelum ada permohonan mana-mana pihak lain untuk mengambil alih kawasan itu,” katanya.
Minta kerajaan pertimbang pemberian geran
Sementara itu, Yang Dipertua Pas Kulim-Bandar Baharu, Hassan Razak meminta kerajaan mempertimbangkan untuk memberi geran kepada peneroka di Kampung Bukit Buluh yang telah lama memohon tanah dan mengusahakan kelapa sawit.
Menurutnya, peneroka di situ telah memohon kelulusan mendapat geran untuk mengusahakan tanah dengan tanaman kelapa sawit sebelum tahun 1992 lagi.
“Setakat ini hanya enam peneroka sahaja diberi geran.
“Kita harap pihak kerajaan dapat pertimbangkan dan menyelesaikan masalah ini dengan segera,” katanya.
Katanya, kini peneroka ini akan hilang sumber pendapatan apabila tanah yang sekian lama mereka usahakan diberi kepada satu syarikat untuk aktiviti pengambilan pasir.
“Kini mereka berdepan masalah apabila tanah yang diusahakan mereka diratakan untuk memberi laluan kepada kerja pengambilan pasir, sumber pendapatan mereka akan hilang,” katanya.
Tambahnya, aktiviti meratakan tanah seolah-olah menceroboh tanah peneroka yang terlebih dahulu memohon geran tanah sebelum syarikat lain minta untuk melombong pasir.
Sumber: Sinar Harian