Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim |
PETALING JAYA - Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berpendapat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sepatutnya tegas dengan pendirian asal dan tidak memberi muka kepada bekas pemain yang pernah disabitkan dengan gejala rasuah.
Menurut beliau, bola sepak negara kini sudah mula menuju kancah kegemilangan tetapi tindakan memberi pengampunan kepada pesalah tersebut seolah-olah membenarkan gejala rasuah bertapak semula dalam sukan ini.
Malah katanya, tindakan itu menyebabkan pemain tidak lagi akan dihantui perasaan takut kerana yakin mampu mendapatkan pengampunan suatu masa nanti.
"Adakah FAM mengambil kira akan kesan masa panjang terhadap bola sepak tanah air kerana sekiranya gejala rasuah dianggap mudah untuk diberi pengampunan.
"Bagaimanakah ianya akan menjadi pengajaran kepada pemain generasi baru?," soalnya menerusi satu kenyataan di laman Facebook Johor Southern Tiger pada Selasa.
Tunku Ismail berkata pemain yang terjebak dengan rasuah akan memburukkan keadaan tetapi tiada kata-kata dapat diungkapkan lebih-lebih lagi jika ia diamalkan secara terbuka.
"Terjebak dengan rasuah sudah cukup memburukkan keadaan tetapi rasuah secara terbuka tidak ada kata-kata untuk dikatakan," katanya.
FAM pada Isnin memberi pengampunan kepada 78 pemain yang digantung akibat kesalahan menjual perlawanan pada tahun 1994 dan 1995.
Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Afandi Hamzah berkata bekas pemain tersebut dibenarkan terlibat bukan sahaja di peringkat negeri, malah kebangsaan atau dalam mana-mana program bola sepak anjuran FAM.
Keputusan itu dibuat selepas FAM mendapatkan pandangan dan hitam putih daripada semua pihak seperti FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa), UEFA (Kesatuan Bola Sepak Eropah), AFC (Konfederasi Bola Sepak Asia), SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) dan PDRM (Polis Diraja Malaysia).
Antara nama-nama besar yang terpalit dengan skandal ini adalah Matlan Marjan , Azizol Abu Haniffah, Faridzuan Che Hamid, Karim Pin, P Ravindran dan lain-lain lagi.
Sumber: mStar