Pengarah Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP), Zaidi Yazid |
ALOR SETAR - Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid meluahkan kebimbangan beliau terhadap Pengarah Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP) di kementeriannya, Zaidi Yazid, yang dilaporkan hilang sejak pagi Ahad lalu.
Menurut Mahdzir, keluarga Zaidi telah membuat laporan polis berkenaan kehilangan tersebut setelah Pengarah BTP itu gagal dikesan dan tidak menghubungi keluarganya.
Datuk Seri Mahdzir Khalid |
"Saya ambil maklum kebimbangan keluarga Pengarah BTP, Encik Zaidi Yazid mengenai keselamatan beliau pada ketika ini ekoran tidak menghubungi keluarga atau rakan-rakan semenjak semalam (pagi Ahad).
"Difahamkan laporan polis telah dibuat oleh keluarga beliau petang tadi," kata Mahdzir mengenai kehilangan pegawai kanan KPM tersebut.
Kehilangan Zaidi turut disahkan oleh anaknya, Zaheera Zaidi, yang meminta agar mana-mana pihak yang menemui bapanya supaya segera menghubungi dirinya dan keluarga secepat mungkin.
"Mintaa bantuan kawan2 semuaa. kalau ada terjumpa ayah tersayang sy mohon
hubungi saya. last sy jumpa sabtu 30 april pukul 6 ptg. die keluar
rumah jam 6 ptg 30 april dan katanya nak tidur di intan bukit kiara.
last contact 1 may jam 8am. plss kawan2. bantu saya," tulis Zaheera di ruangan Facebooknya.
Mahdzir dalam kenyataannya turut meminta agar semua pihak untuk mendoakan semoga Zaidi segera ditemui dalam keadaan selamat ke pangkuan keluarganya.
Selain itu, Menteri Pendidikan yang merupakan Ahli Parlimen Padang Terap itu juga meminta supaya tiada sebarang spekulasi terhadap kehilangan Zaidi.
"Sama-sama kita berdoa agar beliau selamat ditemui atau pulang ke pangkuan keluarga. In shaa Allah...
"Saya meminta semua pihak tidak membuat apa-apa spekulasi sehingga pihak polis memaklumkan perkembangan susulan," mohon Mahdzir yang turut dikenali sebagai "Cikgu Det". -Kedahnews.com