Pengguna Lorong Kecemasan Sedang Diburu Polis


POLIS trafik sedang mengesan pemilik kenderaan menyalahgunakan laluan kecemasan ketika insiden nahas yang meragut nyawa dua beradik di Kilometer 228.6 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara, berhampiran susur keluar Simpang Ampat, Melaka, pada kelmarin.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan, Superintendan Md. Dali Wahid berkata, kesemua pesalah lalulintas yang tidak mengikut undang-undang akan dikenakan tindakan.

“Saya sangat kesal dengan segelintir pengguna jalan raya yang tidak mematuhi undang-undang jalan raya dan menggunakan laluan kecemasan dengan sesuka hati.


“Misalnya kes di Kilometer 228.6 tempoh hari, jelas sekali menunjukkan ramai pengguna kenderaan menggunakan lorong kecemasan sehingga menghalang laluan ambulans.

“Ini secara tidak langsung menyukarkan operasi menyelamat, sekali gus memberi kesan kepada mangsa kemalangan yang terlibat,” katanya seperti yang dipetik portal Sinar Harian.

Menurut Md Dali, polis tidak berkompromi terhadap pesalah terbabit kerana perkara seperti itu kerap kali berlaku sehingga mereka tidak gentar melakukan perkara tersebut seolah-olah sengaja mencabar kredibiliti pegawai penguatkuasa.


Sementara itu, di dalam laporan Awani, pengarah bahagian penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Valluvan Veloo berkata, jabatan memandang serius tentang penyalahgunaan lorong kecemasan.

Ini kerana, bahagian jalan tersebut sememangnya diperuntukkan untuk kecemasan. Valluvan turut menjelaskan, video serta gambar diambil saksi kejadian boleh dilampirkan sebagai bukti kesalahan, sekali gus membolehkan pemandu tersebut dikenakan tindakan. –Kedahnews.com