Perisian Komputer "Pirate" Bernilai RM300,000 Dirampas KPDNKK Kedah

Shahrudin (tengah) memeriksa komputer yang mengandungi perisian komputer cetak rompak yang dirampas dalam serbuan di sebuah kilang melarik besi.
KULIM - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kedah berjaya merampas lima komputer dan satu komputer riba yang mengandungi perisian cetak rompak bernilai RM298,000 di sebuah kilang pembuatan barangan angkasawan (aerospace) di kawasan perusahaan, dekat sini, kelmarin.

Ketua Pegawai Penguat kuasa KPDNKK Kedah, Shahrudin Hamzah berkata, serbuan dilakukan bersama anggota polis dan Bussines Software Alliance (BSA) ke lokasi kilang melarik besi tersebut pada jam 11 pagi.

Menurutnya, pemeriksaan dilakukan terhadap 100 unit komputer dalam pejabat mendapati, lima komputer dan satu komputer riba mempunyai salinan langgaran perisian komputer cetak rompak pelbagai jenis.

“Antara salinan langgaran perisian komputer sebanyak 21 jenis seperti Autocat, Windo XP Profesional, Microsoft Office Project dan pelbagai perisian yang banyak digunakan dalam bidang lakaran bagi tujuan komersial.

“Dianggarkan setiap perisian original tersebut dijual pada harga ribuan ringgit seperti Mastercam yang boleh mencecah RM120,000,” katanya pada sidang media di Pejabat KPDNKK Kulim, semalam.

Shahrudin berkata, hasil siasatan mendapati, pengurus sumber manusia kilang tersebut menjalankan operasi itu selama 31 tahun.

“Kesalahan itu akan disiasat mengikut Seksyen 41(1) (d) Akta Hak Cipta 1987 yang menyalahi bentuk salinan langganan digunakan untuk perniagaan domestik,” katanya.

Tambahnya, orang ramai yang ada maklumat mengenai kes cetak rompak perisian komputer boleh menyalurkan kepada KDPNKK dan BSA untuk tindakan lanjut.

Dalam pada itu, Shahrudin berkata, setakat ini KPDNKK berjaya membuat rampasan RM424,000 bersamaan enam kes terhadap premis perniagaan termasuk kilang yang menyalahgunakan salinan langgaran untuk tujuan komersial.

“Ini adalah rampasan paling besar dan dua di Alor Setar, satu di Kubang Pasu, dan dua di Sungai Petani dari Januari sehingga kini,” katanya.

Sumber: Sinar Harian