Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah |
JOHOR BAHRU – Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah terpaksa menegur sikap pengikut atau followers di laman sosial Facebook milik baginda sendiri yang hanya gemar memilih topik tertentu.
Raja Zarith Sofiah malah mempersoalkan tindakan semacam ‘pilih kasih’ oleh pengikut yang lebih tertarik untuk meninggalkan komen dan tanda suka atau ‘like’ setiap kali baginda memuat naik foto diri sendiri.
Bagaimanapun apa yang anehnya ujar Permaisuri Johor itu lagi, mereka pada masa sama tidak pula berbuat perkara serupa apabila baginda pernah memuat naik artikel sejarah berkaitan cucu Nabi Muhammad SAW.
“Saya ada memuat naik gambar dan menerima ribuan ‘like‘ serta ratusan komen. Tetapi apabila saya memuat naik artikel mengenai cucu Nabi Muhammad SAW, saya hanya menerima 10 ‘likes’ dan satu komen.
“Bagaimana kita akan jadi seorang Muslim atau Muslimah yang lebih baik, jika kita tidak berminat dengan sejarah Islam, dan tidak cuba menimba lebih banyak ilmu pengetahuan tentang agama Islam?” luah Raja Zarith Sofiah, semalam.
“Adakah ini kerana rencana tersebut ditulis dalam bahasa Inggeris dan tidak ramai yang boleh membacanya? Atau, adakah kerana semua terlalu sibuk dan tidak mempunyai masa untuk membacanya?
“Atau, adakah kerana tiada siapa yang berminat tentang cerita berhubung dengan keluarga Rasulullah SAW? ” soal baginda lagi menerusi muat naik status terbaharu itu di Facebook.
Posting Raja Zarith Sofiah itu mendapat maklum balas daripada pengikutnya termasuk antaranya salah seorang pengikut baginda, Nor Fatin Gali yang sentiasa mengikuti perkembangan Raja Zarith Sofiah.
Beliau secara jujur berpendapat artikel Raja Zarith Sofiah berkenaan cucu Nabi Muhammad SAW kemungkinan besar tidak ‘mendapat sambutan’ berikutan penggunaan bahasa Inggeris dalam artikel tersebut.
“Kebanyakan rakyat Malaysia mungkin lebih gemar dan lebih faham apabila Tuanku menggunakan bahasa Melayu… Maaf Tuanku. Kami sayangkan Tuanku. Terima kasih atas perkongsian (artikel tersebut).
“Ia merupakan pengetahuan yang baik dan pengajaran buat semua,” katanya pada ruangan komen mengulas luahan baginda yang cukup disayangi khasnya rakyat Johor selain suami baginda, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Sementara itu, seorang lagi pengikut akaun Facebook Raja Zarith Sofiah, Norhayati Burham mendakwa, dia mungkin terlepas pandang tentang artikel yang dimuat naik oleh Permaisuri Johor itu semalam.
“Saya rasa, kalau Tuanku tidak muat naik artikel tersebut, memang saya tidak tahu sebab semalam kebetulan memang tidak ada dalam news feed saya,” katanya. – Agensi