Pesawat Terbesar Dunia Singgah Di KLIA Esok

Antanov 225
PESAWAT komersial terbesar di dunia, Antanov 225 bakal mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di Sepang, esok.

Menurut laporan media antarabangsa, pesawat tersebut singgah sementara di Malaysia untuk mengisi minyak sebelum menyambung perjalanan.

Sebelum ia singgah di KLIA, pesawat jumbo yang dibina pada 1988 lalu itu dilaporkan terlebih dahulu akan singgah di India dan Turkmenistan.

Juga disebut sebagai Mriya yang bermaksud impian dalam bahasa Ukraine, pesawat An 225 itu pernah digunakan tentera era komunis bekas Kesatuan Soviet.

Hanya terdapat sebuah sahaja An 225 buatan Ukraine itu yang dilengkapi dengan enam enjin jenis turbofan, 42 tayar dan mempunyai berat 640 tan.


Mampu terbang pada kelajuan maksimum 850 kilometer sejam, tangki minyaknya sahaja 300,000 kilogram dan panjang sayap pesawat ini 88 meter.

Dengan saiz sebesar itu, KLIA dianggap lokasi paling sesuai untuk persinggahan julung kali itu berbanding Changi, Singapura atau Jakarta, Indonesia.

Destinasi terakhir pesawat dikendalikan Antonov Airlines itu ialah di Perth, Australia bagi menghantar generator elektrik seberat 117 tan. –Kedahnews.com