Gambar Hiasan |
WASHINGTON DC – Sebuah pesawat kecil dilaporkan berlanggar dengan seekor burung helang sebelum ia terhempas dan langsung terbakar, mengorbankan empat orang termasuk penumpang di dalamnya.
Insiden pelik itu berlaku di bahagian utara bandar raya Anchorage pada bulan lalu, menurut pihak berkuasa negeri Alaska dan merupakan kes nahas udara pertama seumpamanya yang direkodkan di Amerika Syarikat (AS).
Media tempatan melaporkan pesawat malang itu berlanggar dengan seekor unggas helang dari spesis ‘bald eagle’, menurut pegawai penyiasat Lembaga Keselamatan Pengangkutan Nasional (NTSB), Shaun Williams.
Sebelum ini, terdapat beberapa insiden lain apabila pesawat terhempas setelah berlanggar dengan burung helang, namun ia hanya menyebabkan mangsa mengalami kecederaan serius, tambah beliau lagi.
Bangkai burung helang itu turut dijumpai NTSB di bahagian ekor pesawat tersebut, ujar Williams. Kebakaran yang tercetus selepas pesawat itu terhempas menjadikannya sukar untuk mengenal pasti mangsa.
Namun bukti forensik pula menunjukkan bahawa pertembungan tersebut berlaku akibat burung helang itu merempuh agak laju dan terlanggar ekor pada pesawat berkenaan secara tidak sengaja.
Jika benar, ia mungkin membuatkan pesawat tiba-tiba berubah hala atau pertembungan tersebut merosakkan bahagian ekor pesawat, sehingga menyebabkan masalah kawalan kepada juruterbang.
Williams menambah, pihak NTSB sedang menyiasat punca sebenar kejadian berkenaan. Juruterbangnya dan juruterbang kedua, serta dua penumpang, terkorban dalam kemalangan yang berlaku pada 20 April.
Insiden tersebut terjadi berdekatan dengan sebuah lapangan terbang kecil sekitar 32 kilometer ke utara Anchorage. Pada ketika itu mereka sedang menjalankan tinjauan udara bagi sebuah firma swasta tempatan.
Keempat-empat mereka yang terbunuh ialah George Kobelnyk, 64 tahun (juruterbang); Christian Bohrer, 20 tahun (juruterbang kedua); dan dua penumpang, Sarah Glaves, 36 tahun dan Kyle Braun, 27 tahun.
Kebanyakan serpihan pesawat dijumpai di sebuah daerah yang terdapat banyak pokok dan kebakaran akibat terhempas menyebabkan sebahagian besar badan pesawat malang itu hancur musnah sepenuhnya.
Menurut Jabatan Perikanan dan Pertanian Alaska, wilayah itu mempunyai jumlah burung helang spesis ‘bald eagle’ yang paling banyak dijumpai di Amerika Utara iaitu sekitar 30,000 ekor. – Agensi