Syed Mohd Asri menunjukkan antara orkid yang menjadi pilihan ramai. |
PENDANG – Berlangsung di kawasan tumpuan ramai berserta konsep santai dan terbuka, Pesta Orkid dan Flora berjaya menarik perhatian pelbagai golongan tidak mengira umur dan bangsa untuk hadir pada program tersebut.
Bermula sejak 13 Mei lalu, penganjuran program yang julung kali diadakan di Pendang Square bakal melabuhkan tirainya pada 22 Mei ini.
Pengarah Urusan BMC Venture, Syed Mohd Asri Syed Mothar berkata, program kali pertama yang diadakan di pekan Pendang itu mendapat sambutan amat luar biasa.
“Pada program ini, kita menampilkan ribuan jenis tanaman orkid, herba dan pokok buah-buahan dibawa khas dari seluruh negara.
“Harga yang ditawarkan juga adalah jauh lebih murah berbanding harga pasaran semasa dan tanaman ini amat sesuai bagi keadaan iklim di daerah Pendang,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, orang ramai yang hadir pada program tersebut berpeluang untuk memenangi hadiah cabutan bertuah yang lumayan.
“Semua penduduk Pendang dan yang berdekatan boleh datang beramai-ramai ke program ini untuk mendapatkan pelbagai jenis pilihan orkid kegemaran masing-masing.
“Selain orkid, kita juga mempunyai gerai jualan pakaian yang ditawarkan dengan harga istimewa,” katanya.
Syed Mohd Asri berkata, bagi golongan wanita pula sudah tentu tidak boleh melepaskan peluang keemasan untuk memiliki beg tangan wanita berjenama yang dijual pada harga borong dan sangat murah.
“Sebagai persediaan menyambut Ramadan dan Aidilfitri, orang ramai juga boleh mendapatkan pelbagai jenis cadar, cawan dan periuk yang turut dijual dengan harga murah.
“Saya yakin anda tidak akan menyesal kalau hadir ke program ini kerana kami menampilkan pelbagai jenis barangan yang ditawarkan dengan harga sangat berpatutan,” katanya.
Sumber: Sinar Harian