Piala Thomas: Malaysia Dihampakan Denmark Di Separuh Akhir

Iskandar Zulkarnain tunduk kecewa selepas tewas dalam perlawanan ketiga untuk mata kemenangan negara.
KUNSHAN - Hajat Malaysia menjejak kaki ke final PialaThomas musnah selepas Denmark menyekat laluan skuad negara dengan kemenangan 3-2di separuh akhir yang berlangsung di Pusat Sukan Kunshan, di sini Jumaat malam.

Skuad negara yang mendahului 2-0 gagal mempertahankan kelebihan itu untukmembenarkan Denmark, naib juara lapan kali Piala Thomas, bangkit selepas menang tiga perlawanan berikutnya dengan perseorangan ketiga mereka, Emil Holst munculwira menundukkan Chong Wei Feng 21-15, 21-18. 

Ini adalalah kali pertama Denmark ke final selepas 2006 dan akan menentang juara 13 kali, Indonesia di final, Ahad ini.

Dalam perlawanan tersebut, Datuk Lee Chong Wei seperti dijangka menyumbang mata pertama apabila menjinakkan Viktor Axelsen 23-21, 21-18 sebelum beregu utama negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong membuat kejutan dengan menjinakkan gandingan Mathias Boe-Mads Conrad-Petersen 21-18, 21-18.

Namun harapan untuk menyaksikan Iskandar Zulkarnain Zainuddin menyumbangmata kemenangan tidak kesampaian apabila beliau gagal mengekalkan rekod tanpa kalah dalam penampilan sulungnya di edisi Piala Thomas ini.

Iskandar tunduk kepada Hans Kristian-Vittinghus 18-21, 18-21, sekali gus memberi suntikan semangat kepada Denmark yang juga pilihan kedua kejohanan kali ini.

Sandaran skuad negara kemudian beralih kepada pasangan veteran Koo Kien Keat-Tan Boon Heong untuk menyumbang mata kemenangan tetapi jelas kudrat mereka sudah jauh berkurangan biarpun menang mudah set pertama 21-10.

Ini membolehkan gandingan Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen bangkit mengikat kedudukan 2-2 selepas menang dua set berikutnya 21-8, 21-13, sehingga memaksa perhitungan ditentukan dalam perlawanan kelima antara Holst dan Wei Feng.

Kali terakhir Malaysia muncul juara adalah di Kuala Lumpur pada 1992 manakala pada edisi 2014, skuad negara muncul naib juara selepas tewas 2-3 kepada Jepun.

Pencapaian kali ini dianggap mengecewakan apa lagi skuad negara memilikisebahagian besar barisan berpengalaman dalam Piala Thomas berbanding pasukan 2014 yang hanya Chong Wei dan Beng Heong sahaja muka lama dalam saingan acara berpasukan paling berprestij ini.

Sementara itu dalam separuh Piala Uber, Korea Selatan menewaskan Jepun 3-1 untuk menempah pertemuan dengan juara bertahan yang juga tuan rumah, China, yang mara selepas menundukkan India 3-1.

Aksi final antara China dan Korea Selatan akan berlangsung pukul 1 tengah hari Sabtu. -Bernama