Datuk Misbun Sidek. |
KUALA LUMPUR - Di sebalik kejayaan pasukan badminton Denmark menjulang Piala Thomas buat pertama kali semalam, pasti tidak ramai yang tahu adanya 'sentuhan' bekas jurulatih negara, Datuk Misbun Sidek.
Sebaik Denmark muncul juara Piala Thomas, media sosial menyiarkan gambar pemain negara itu termasuk wira yang menyumbang mata kemenangan, Hans-Kristian Vittinghus dan Jan O Jorgensen bersama Misbun dan adiknya, Datuk Jalani Sidek di Kelab Badminton Nusa Mahsuri.
Bagi Jalani yang juga bekas pemain beregu negara, kehadiran pemain Denmark bukan satu perkara yang baharu kerana mereka sering bertemu dengan bekas jurulatih Datuk Lee Chong Wei itu untuk menimba ilmu.
Jalani berkata gambar yang tersebar di media sosial berhubung kehadiran pemain Denmark 'berguru' dengan Misbun itu sebenarnya adalah sebelum berlangsungnya Kejohanan Terbuka Malaysia lagi, bulan lepas.
"Mereka berguru bersama Misbun selama dua minggu sebelum Kejohanan Terbuka Malaysia lagi... memang sasaran mereka untuk menjulang Piala Thomas dan Sukan Olimpik.
"Sebenarnya sebelum saya dan pasukan negara menjulang Piala Thomas pada 1992, kami turut melakukan perkara yang sama yang mana pasukan negara berlatih dengan tiga jurulatih dari China, dan ketika itu memang sasaran kami adalah untuk menjulang Piala Thomas.
"Ini adalah persiapan yang dilakukan oleh Denmark, seharusnya kita pun begitu," katanya ketika dihubungi Bernama.
Jalani berkata Misbun tidak lokek untuk berkongsi ilmu dengan mana-mana pemain yang mahukan pengalaman serta tunjuk ajar.
"Pemain Denmark adalah pemain kelab, segala perbelanjaan untuk menjalani latihan itu ditanggung sendiri dan tidak melibatkan persatuan negara berkenaan.
Jadi, pemain mereka bebas untuk ke mana sahaja menjalani latihan.
"Mereka berjumpa Misbun kerana ingin mengetahui bagaimana Chong Wei masih kompetif sehingga kini.
"Misbun juga mengenali mereka ketika bersama-sama Chong Wei dahulu dan mempunyai pengetahuan tentang pemain Denmark," katanya.
Mengulas mengenai prestasi skuad negara, Jalani berkata pemilihan pemain adalah tanggungjawab Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan badan induk itu sendiri lebih mengetahui tentang kelebihan pemain negara.
"Saya hanya berkongsi pendapat apabila ditanya mengenai pasukan Piala Thomas 1992 dan yang sekarang, pemilihan pemain itu adalah keputusan BAM.
"Sekiranya BAM kata layak ke separuh akhir itu satu bonus, jadi itu tidak salah... pada 1992 dulu, sasaran kami adalah menjulang Piala Thomas.
"Jika dulu kami mendapat pendedahan daripada tiga jurulatih China untuk menewaskan pasukan China, sekarang pemain mempunyai Morten Frost Hansen (Pengarah Teknikal BAM) yang pasti mempunyai kepakaran tentang pemain Denmark," katanya.
Pasukan Denmark mengalahkan Malaysia 3-2 di separuh akhir seterusnya mengekalkan rentak kemenangan untuk bergelar juara buat julung kalinya apabila menewaskan Indonesia dengan keputusan sama pada final Piala Thomas, semalam. -Bernama