Norhayati menunjuk keadaan kaki kanan anaknya selepas menjalani rawatan di hospital yang pada mulanya hanya menghadapi masalah batuk. |
ALOR SETAR - Jabatan Kesihatan Negeri Kedah kelmarin mengesahkan bayi lelaki berusia empat bulan dari Kampung Sukamari, Pendang telah menerima rawatan di sebuah hospital kerajaan dan mengalami bengkak serta kulit bertukar kehitaman setalah disuntik semasa rawatan.
Pengarah Kesihatan Negeri Kedah, Datuk Dr Norhizan Ismail berkata, bayi lelaki tersebut dimasukkan ke wad pediatrik pada 1 Mac lalu jam 7.10 malam disebabkan batuk dan masalah pernafasan.
Katanya, rawatan segera telah diberikan pakar pediatrik yang memerlukan rawatan antibiotik melalui suntikan intravena.
“Pada 2 April jam 8.30 pagi, pakar pediatrik mendapati kaki kanan bayi mengalami pembengkakan semasa rawatan diberikan dan kes segera dirujuk kepada pakar ortopedik dan pakar pembedahan plastik.
“Ibu kepada bayi itu segera dimaklumkan berhubung keadaan kaki kanan anaknya. Rawatan segera oleh pasukan pakar dilakukan bagi merawat masalah 'bronchopneumonia' dan masalah kaki kanan bayi itu,” katanya.
Norhizan berkata, pada 29 Mac lalu, pihak pengurusan hospital terdiri daripada pengarah, timbalan pengarah dan pegawai perhubungan awam turut mengadakan perbincangan bersama ibu bapa bayi berkenaan.
"Mereka memahami keadaan yang berlaku dan pihak pengurusan hospital menasihatkan waris bayi itu menghubungi pengurusan hospital jika memerlukan penjelasan lanjut atau pun bantuan.
"Hasil rawatan yang diberikan telah mendapat tindak balas yang baik oleh bayi berkenaan dan dibenarkan pulang pada 27 April dengan temu janji pada 10 Mei nanti,” katanya.
Pihak hospital berkenaan dan Jabatan Kesihatan Negeri Kedah komited dan sentiasa bersedia untuk membantu keluarga berkenaan jika terdapat sebarang kemusykilan dan berusaha mengatasi masalah kesulitan.
“Sehubungan itu saya memohon keluarga berkenaan untuk menghubungi pihak pengurusan hospital dengan segera untuk perbincangan lanjut,” katanya.
Sumber: Sinar Harian