Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan. |
KUALA LUMPUR – “Saya lihat DAP dan Parti Amanah Negara (PAN) telah kehabisan idea untuk mendepani PAS. Mereka mula meracau tidak ketentuan hala,” kata Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan.
Kata beliau, DAP dan PAN kini meracau dengan pembentangan pindaan Akta Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian (Pindaan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan 2015) Akta 355.
Justeru, katanya, PAS meminta DAP tidak masuk campur berhubung pindaan akta tersebut di Parlimen kerana ia melibatkan urusan umat Islam dan tiada kena mengena dengan bukan Islam.
“Ia adalah bertujuan untuk memperkasa Mahkamah Syariah. Tentu sekali ia tidak ada kena mengena dengan pihak non muslim.
“Selayaknya DAP usah campur urusan umat Islam atau mereka sememangnya sedang berusaha bagi membuktikan kepada umum bahawa mereka benar-benar anti Islam,” katanya dalam satu kenyataan media, semalam.
Nasrudin menegaskan PAS tidak akan berhenti untuk melaksanakan undang-undang hudud di negara ini dan kejayaan membentang usul Pindaan Akta 355 di Parlimen cuma satu langkah permulaan.
Tegasnya, PAS akan tetap bersabar menerima kritikan dan maki hamun dari pihak yang memusuhi serta bersungguh-sungguh mendepani cabaran, halangan dan sabotaj terhadap usaha berkenaan. –Kedahnews.com