Polis Pendang Lumpuhkan "Geng Hanis", 3 Diberkas

PENDANG - Polis melumpuhkan satu kumpulan samun yang didalangi seorang lelaki berusia 25 tahun dikenali sebagai 'Geng Hanis' hasil penahanan tiga suspek termasuk individu berkenaan.

Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Fadzil Hashim berkata, mereka yang berumur antara 25 hingga 40 tahun itu ditahan dalam 'Op Cantas' di rumah masing-masing di Kampung Gajah Mati di sini, pada 22 Mei lalu.

"Dengan penahanan mereka, pihak polis telah berjaya menyelesaikan 11 kes jenayah melibatkan samun kedai di sekitar Tanah Merah dan Pekan Pendang sejak awal bulan April lalu.

"Modus operandi yang digunakan ialah seorang suspek akan memasuki kedai yang dijaga oleh wanita sebelum terus mengeluarkan parang dan meminta menyerahkan wang manakala seorang lagi suspek akan menunggu di luar kedai dengan menaiki motosikal," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Pendang di sini semalam.

Beliau berkata, salah seorang suspek yang ditahan mempunyai rekod lampau melibatkan kes dadah dan curi kenderaan dan hasil ujian air kencing mendapati ketiga-tiga suspek positif dadah.

"Polis telah merampas parang yang digunakan untuk menyamun selain telefon bimbit suspek. Semua suspek ditahan reman sehingga 29 Mei ini dan akan disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu samun berkumpulan bersenjata yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan," katanya.

Fadzil berkata, polis juga sedang mengesan seorang lagi anggota Geng Hanis yang masih bebas dan berharap orang ramai untuk menyalurkan maklumat berkaitan suspek di balai polis berdekatan. – Bernama