PPPM 2013-2025: Pengurusan Perubahan - @MahdzirKhalid


Dua minggu lepas saya telah menukilkan catatan peribadi mengenai peranan guru yang telah berubah berikutan kepesatan teknologi dunia dan impaknya kepada pembangunan murid selaras Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Saya merasa teruja kerana perkongsian itu telah mendapat sambutan daripada pembaca dan tidak kurang juga yang telah memberikan pendapat bernas serta cadangan penambahbaikan pelaksanaan. Terima kasih di atas maklum balas yang diterima. Antara respon yang menarik perhatian saya adalah mengenai kualiti guru dan impaknya kepada keberhasilan murid.

Perkara ini semamangnya dekat di hati rakyat negara ini dan bukanlah satu isu baharu dalam sistem pendidikan negara kita. Semasa kementerian dalam proses menghasilkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025, satu sesi Dialog Nasional Pendidikan Negara telah diadakan untuk memberi peluang kepada rakyat untuk menyuarakan pendapat, memberikan kritikan yang membina dan mencadangkan penyelesaian terhadap isu pendidikan di Malaysia.

Gambar Facebook Mahdzir Khalid
Semua medium telah digunakan sepenuhnya baik secara bersemuka melalui 16 sesi townhall di seluruh negara, siri jelajah atau persidangan meja bulat mahupun secara bertulis melalui memorandum, soal selidik atas talian dan juga maklum balas melalui media cetak serta media sosial. Buat julung kalinya, kementerian mendengar dahulu kehendak rakyat sebelum sesuatu polisi itu digubal. Satu perkara yang menjadi tumpuan paling tinggi adalah mengenai kualiti guru.

Seperti yang saya pernah katakan sebelum ini, guru akan memberikan impak secara langsung kepada murid, bukan sahaja daripada segi pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah, tetapi juga daripada segi sahsiah dan pembentukan akhlak.


Pengalaman saya sendiri dengan anak-anak saya semasa mereka bersekolah, apa sahaja yang dikatakan oleh guru adalah betul, walaupun ketika itu saya sudahpun menjadi pengetua. Ini bermakna pengaruh dan didikan guru itu sangat meninggalkan kesan kepada murid kita.

Sebagai seorang bekas guru, saya juga mempunyai pengalaman yang tidak dapat saya lupakan ketika mengajar dahulu, Sebagai guru lepasan universiti dan bekas pemimpin pelajar, semangat saya amat tinggi ketika itu untuk menabur bakti kepada anak bangsa. Ketika itu fungsi guru adalah untuk mencurahkan ilmu kepada murid, kerana guru adalah sumber ilmu kepada mereka.

Guru perlu membimbing mereka daripada pembentukan akhlak dan nilai sejagat yang boleh diaplikasi dalam proses sosialisasi dengan masyarakat. Guru merupakan rujukan mutlak murid bagi mendapatkan maklumat tentang masa hadapan. Di SMK Beluran, Sabah, tempat saya mula mengajar, dunia murid hanya terbatas di sekolah dan di rumah dalam komuniti kecil di situ.

Namun begitu cabaran di era itu tidak sama dengan cabaran untuk guru-guru di masa ini. Hakikatnya, seperti yang pernah saya kongsikan sebelum ini, murid kita sekarang sangat terdedah kepada dunia luar, bukan setakat di negara kita tetapi mereka terdedah dengan pelbagai budaya dan cara hidup berbeza daripada serata dunia. Justeru guru-guru kita perlu bersedia dengan perubahan mendadak dalam peranan dan tugas selaras dengan perkembangan dunia masa kini.


Guru-guru yang sezaman dengan saya ketika mula mengajar, ataupun guru-guru yang sudah menabur bakti lebih dua dekad dalam pendidikan juga perlu melengkapkan diri bagi menghadapi gelombang teknologi yang begitu hebat ini.

Saya sangat memahami bahawa perubahan ini memang amat mencabar dan sampai ke tahap membebankan bagi sesetengah guru-guru kita. Perkara ini telahpun saya perjelaskan sewaktu Perutusan Tahun Baharu 2016 yang lalu.

Kementerian amat prihatin bahawa untuk menghasilkan murid yang seimbang ilmu dan akhlaknya melalui penerapan Enam Aspirasi Murid, guru-guru kita perlu diberi sokongan berterusan.

Dalam Gelombang 1 PPPM (2013-2015), kementerian telah memugarkan profesion keguruan dengan pelbagai cara, termasuklah meninggikan syarat kelayakan kemasukan dengan hanya memilih 30% graduan terbaik SPM untuk menyertai latihan perguruan. Kementerian juga telah meningkatkan pelaburan dalam pembangunan profesional dan sokongan guru yang berterusan atau Continuous Professional Development (CPD).

Guru-guru kita juga menikmati pakej kerjaya baharu yang membolehkan kemajuan pantas berdasarkan kompetensi dan prestasi, dan bukannya tempoh perkhidmatan; serta menyediakan laluan kerjaya yang berbeza berdasarkan kemahiran dan minat guru. Maklumat lanjut mengenai sokongan kepada guru telah diperincikan dalam Bab 5 PPPM.

Semasa lawatan ke sekolah, selain daripada pemerhatian saya terhadap perubahan fizikal dalam bilik darjah, saya sering mengambil kesempatan untuk berbual sendiri dengan murid-murid tentang apa yang mereka pelajari dan interaksi mereka di sekolah. Daripada respon murid-murid tersebut, saya merasa kagum dengan kemampuan murid-murid di sekolah rendah dalam menjawab soalan saya dengan lancar tanpa rasa kekok atau segan.

Saya dapat melihat keyakinan dalam diri mereka yang dizahirkan melalui perbualan mereka dengan saya. Bagi saya, untuk seorang murid sekolah rendah bercakap dengan petah mengenai pengalaman pembelajaran mereka, adalah satu pencapaian yang sangat memberangsangkan.

Ini adalah hasil daripada didikan guru-guru mereka yang menggalakkan pelibatan aktif murid dalam proses pengajaran dan pembelajaran seperti yang dihasratkan dalam PPPM menerusi Pembelajaran Abad ke-21.

Justeru saya yakin bahawa guru-guru kita, tidak kira guru permulaan mahupun guru-guru yang telah lama berkhidmat, mampu untuk menyediakan murid kita untuk berjaya di peringkat global satu hari nanti terutama sekali apabila mempunyai kepimpinan yang mantap di sekolah masing-masing.


Nantikan nukilan saya seterusnya pada minggu hadapan mengenai peranan yang begitu dekat di hati saya – pemimpin sekolah.


SELAMAT HARI GURU

“PENDIDIKAN ITU KEGEMBIRAAN, PENDIDIKAN ITU KEBAJIKAN, PENDIDIKAN ITU KETERBUKAAN”

Datuk Seri Mahdzir Khalid,
Menteri Pendidikan Malaysia
Portal Rasmi Menteri Pendidikan; TokDet.my