Pramugari MAS Bakal Berimej Baru Hujung Tahun Ini


KUALA LUMPUR – Malaysia Airlines Berhad (MAB) bakal memperkenalkan corak rekaan pakaian seragam baharu termasuk sarong kebaya ikonik yang dipakai pramugari iaitu kru kabin wanita menjelang akhir tahun ini.

Ia susulan kerjasama strategik terbaharunya dengan jenama fesyen terkemuka antarabangsa, Farah Khan, sekali gus akan membawa simbol keunikan dan kepelbagaian syarikat penerbangan kebangsaan itu satu tahap lebih tinggi.

Menerusi kerjasama tersebut, Datuk Seri Farah Khan merangkap pengarah kreatif jenama busana Farah Khan akan menghasilkan rekaan pakaian seragam MAB yang baharu menggantikan imej korporat sedia ada sejak 1986 itu.

Perkara berkenaan diumumkan Ketua Pegawai Komersial MAB, Paul Simmon dalam satu kenyataan media di sini yang akan meneruskan kesinambungan transformasi MAB lebih segar untuk semua pelanggan syarikat tersebut.

Farah Khan turut diberi tanggungjawab untuk menghasilkan rekaan rangkaian penuh pakaian seragam kakitangan MAB termasuk anak kapal, petugas di lapangan terbang, jurutera dan petugas di bahagian-bahagian lain.

Sementara itu, menurut kenyataan dikeluarkan agensi perhubungan korporat Farah Khan, The Melium Group, rekaan baharu tersebut akan dipertontonkan kepada umum menjelang suku keempat pada tahun ini juga.

Koleksi Farah Khan bukan sahaja diiktiraf pengkritik fesyen tempatan malah di peringkat antarabangsa. Ia kini didapati di lebih 70 bandar utama dunia dan sering kali digayakan selebriti antarabangsa dan golongan kenamaan.

Kerjasama unik ini sekali gus menyaksikan Farah Khan sebagai antara pereka yang menyumbang kepada aspek estetik operator udara nasional negara kita seiring dengan koleksi jenama pereka antarabangsa yang lain.

Antaranya rekaan Gianfranco Ferré bagi pakaian seragam syarikat penerbangan Korea Selatan, Korean Airlines, Prabal Gurung untuk syarikat penerbangan Jepun, ANA dan Vivienne Westwood untuk Virgin Atlantic.

Uniform pramugari MAB turut diadaptasi syarikat negara jiran, Singapore Airlines dan Garuda Indonesia selain Malindo Air Malaysia manakala syarikat tambang rendah Air Asia mengenakan sut merah dengan skirt ketat.

Sejarah busana korporat MAB, sebelum ini dikenali sebagai MAS; iaitu sarong kebaya mula diperkenalkan pada 1 Mac 1986 hasil rekaan daripada Sekolah Fesyen Institut Teknologi Mara (kini Universiti Teknologi Mara – UiTM).

Menggunakan motif batik kelarai iaitu dengan latar belakang corak anyaman buluh, ia menggambarkan adunan flora tempatan antaranya cempaka, jasmin, dan kelopak bunga raya serta gabungan motif geometrik Sarawak.

Pada 1 Januari 1993, warna pada batik tersebut mula ditambah baik untuk disesuaikan dengan warna uniform baharu sehingga sekarang manakala pramugara mengenakan jaket berwarna kelabu. – Kedahnews.com