SINDIKET perjudian kini dilihat semakin berani apabila secara terang-terangan menyebarkan risalah iklan pembukaan premis perjudian baru di Taman Ken Rimba, Seksyen 16, Shah Alam.
Menerusi perkongsian di laman Facebook Malaysia Crime Watch atau Mywatch, iklan mengenai premis judi itu disebarkan dengan cara dimasukkan ke dalam peti surat kawasan perumahan dan turut dikepitkan pada wiper kenderaan penduduk.
“Kedai mesin judi terbaru kini dibuka di Ken Rimba! Mau kaya raya datanglah sekarang juga, tunggu apa lagi?,” tulis di ruangan iklan tersebut.
Ia turut menawarkan hadiah berupa kupon RM10 sekiranya ia dibawa sewaktu mengunjungi premis tersebut.
“Sila bawa ini flyers untuk free kupon,” katanya.
Lebih berani lagi, premis judi baru itu tidak berselindung mempromosikan operasi mereka selama 24 jam setiap hari, seolah-olah langsung tidak gentar pada tindakan pihak berkuasa tentang kegiatan haram mereka.
Timbul juga persoalan sama ada sememannya mereka dinaungi oleh sindiket perjudian yang besar dan yakin premis mereka 'kebal' dari sebarang tindakan pihak berkuasa.
Difahamkan, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah digesa supaya segera melakukan serbuan ke atas premis ini yang beralamat seperti yang tertera pada iklan promosi berkenaan. - Kedahnews.com