BALING - Penduduk di sekitar Tembak, Lanai dan beberapa kawasan di Parit Panjang memohon agar mutu perkhidmatan internet di seluruh kawasan mereka yang tidak memuaskan ditingkatkan oleh syarikat telekomunikasi terlibat.
Difahamkan, masalah kelajuan internet di kesemua kawasan itu berada di takuk lama sejak beberapa tahun lalu sedangkan ada sesetengah kawasan mempunyai liputan internet yang baik.
Tinjauan di beberapa kawasan terlibat mendapati talian internet di situ sememangnya perlahan dan sering terganggu.
Guru tadika, Sanisah Baharom, 47, dari Kampung Paya Besar berkata, capaian internet pada telefon bimbit yang berlaku di kawasan Tembak A sudah berlarutan sejak 2010 lagi.
Menurutnya, hal itu menyebabkan urusan kerja yang memerlukan penggunaan internet terganggu.
"Internet dekat sini memang perlahan. Kadang-kadang bila nak upload gambar berkaitan urusan kerja pun susah.
"Dulu boleh guna internet percuma di kampung ini, tapi sejak dipotong saya perlu guna internet yang dilanggan," katanya.
Urusan harian tergendala
Penduduk Kampung Tembak A, Norasmah Abdul Halim, 48, berkata, khidmat internet telefon bimbit yang dilanggannya secara mingguan kerap kali berdepan masalah sama.
"Ini menyebabkan urusan untuk saya hubungi keluarga dan kawan menggunakan aplikasi WhatsApp terganggu.
"Saya mula guna internet pada 2015, tapi sekarang talian makin perlahan. Kadang terpaksa bergerak ke sana sini dalam rumah sebab nak cari talian internet," katanya.
Peniaga, Zulkifli Mohd Ramli, 57, dari Parit Panjang berkata, gangguan berkenaan menyebabkan urusan perniagaannya yang memerlukan internet sedikit tergendala.
“Sebelum ini dua aduan dah dibuat, tetapi jawapan diberikan ialah kawasan kampung di sini hanya boleh dibekalkan perkhidmatan 1G bukannya 4G seperti di pekan,” katanya.
Menurutnya, adakalanya dia terpaksa menangguhkan bayaran bil yang dibuat pelanggan disebabkan masalah berkenaan.
"Di sini ada pencawang komunikasi tapi masalah tetap berlaku. Malah ada kampung yang jaraknya berhampiran tiga kilometer pun tak dapat guna internet.
"Lima orang anak saya yang belajar di universiti juga terkesan dengan masalah ini sebab susah mereka nak siapkan tugasan," katanya.
Pelajar berdepan masalah
Peniaga Pusat Komputer Komuniti Lanai, Ali Othman, 60, berkata, terdapat pelanggan yang merungut dengan talian tetap internet yang perlahan di kedainya.
Menurutnya, ia juga menyebabkan segelintir pelanggan sanggup memilih untuk pergi ke pekan bagi menggunakan perkhidmatan internet biarpun jaraknya terletak beberapa kilometer dari kedainya.
“Masalah ini turut menjejaskan pelajar lepasan sekolah yang ingin memohon pekerjaan dan sambung belajar menerusi atas talian.
“Malah, penuntut IPT yang membuat tugasan mereka juga mengalami masalah serupa, mereka terpaksa ambil masa lama untuk upload dan download bahan diperlukan,” katanya.
Lebih memburukkan keadaan katanya, mutu perkhidmatan internet juga terputus ketika berlakunya hujan dan kilat.
Sementara itu pengguna, Zolkipli Osman berkata, pihak telco seharusnya membekalkan internet berkelajuan tinggi biarpun ia bukan di kawasan kampung.
Menurutnya, urusan penduduk akan menjadi lebih mudah jika masalah gangguan internet dapat diselesaikan.
“Sekarang ini macam-macam urusan perlu guna internet, nak isi borang perkahwinan, zakat dan lain-lain diisi secara terus menggunakan kemudahan berkenaan.
“Jika mereka dapat tambahkan kelajuan, penduduk tidak lagi perlu berurusan dengan mana-mana agensi yang terletak di pekan Baling dan agak jauh dari sini,” katanya.
Katanya, apabila menjelang musim perayaan, masalah yang melibatkan sistem telekomunikasi itu akan lebih bertambah buruk.
“Jika tiba musim perayaan, nak berhubung dengan rakan-rakan dan saudara jauh juga susah,” katanya.
Sumber: Sinar Harian