#PRKKualaKangsar: Datin Mastura Diumum Calon BN

Balu Allahyarham Datuk Wan Khair-il Anuar Wan Ahmad, Datin Mastura Yazid
KUALA KANGSAR – Balu Allahyarham Datuk Wan Khair-il Anuar Wan Ahmad, Datin Mastura Yazid, dinamakan sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar, bulan depan.

Pemilihan Mastura, 55, diumumkan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di hadapan kira-kira 2,000 penyokong BN di Bilik Gerakan BN PRK P067 Kuala Kangsar di Safari Resort di sini, semalam.

Hadir pada Majlis Pengenalan Calon BN itu adalah Pengarah Pilihan Raya BN PRK 067 Kuala Kangsar yang juga Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir; Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Turut hadir ialah Ketua Puteri, Datuk Mas Ermieyati Samsudin; Naib Ketua Pemuda, Khairul Azwan Harun; Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa serta pemimpin parti komponen lain.

Mastura merupakan seorang peguam dan anak kepada bekas Exco Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Yazid Baba.

Sepanjang Allahyarham suaminya menjadi wakil rakyat penggal pertama sejak memenangi pilihanraya umum 2013, Mastura dikatakan banyak memainkan peranan dalam membantu mengurus gerak kerja di kawasan berkenaan.

Sebelum itu pun beliau sudah dikenali oleh orang kawasan kerana sering menyertai program politik Wan Khairil Anuar sejak dari zaman Allahyarham bergiat dalam Pergerakan Pemuda UMNO di situ.

Difahamkan antara faktor penting Mastura dipilih sebagai calon ialah kerana beliau ‘tidak akan menjadi masalah’ dalam konteks percaturan politik UMNO Bahagian Kuala Kangsar.

Pembangkang juga dikatakan tidak ada modal untuk ‘tembak’ beliau dari segi isu politik mahupun peribadi.

Jangan lupa sebelum Allahyarham Wan Khairil menjadi Ahli Parlimen, kawasan Kuala Kangsar diwakili oleh seorang wanita selama 22 tahun yakni Tan Sri Rafidah Aziz yang juga bekas menteri Kabinet.

Mantan Ketua Wanita UMNO Malaysia itu yang menjadi Ahli Parlimen dari 1986 hingga 2013 juga bukan orang Kuala Kangsar. Beliau berasal dari Selama.

Allahyarham Wan Khairil ialah anak tempatan Kuala Kangsar.

BN sebelum ini pernah meletakkan balu kepada Ahli Parlimen bertanding antaranya Datin Linda Tsen Thau Lin sebagai calon BN pada PRK Parlimen Batu Sapi pada 2010 di Sabah ekoran kematian suaminya, Datuk Edmund Chong dalam kemalangan motosikal berkuasa tinggi.

Linda menang pada pilihan raya itu malah mengekalkan jawatannya semasa pilihan raya umum 2013.

Juga dalam lingkungan pembangkang, PKR sendiri memilih Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail bertanding PRK Permatang Pauh pada Mei 2015 setelah suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjara kerana bersalah kes liwat Saiful Bukhari Azlan.

Sebelum itu semasa ‘Langkah Kajang’, Wan Azizah dipilih bertanding PRK kawasan Dewan Undangan Negeri Kajang pada 2014 setelah Anwar tidak boleh bertanding kerana kes mahkamahnya. – Kedahnews.com