#PRKSungaiBesar: "PAS Tak Ada Hak!" - PAN Selangor


SHAH ALAM – Pas tidak berhak menghalang mana-mana parti politik meletakkan calon mereka di Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar.

Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Selangor, Ir Izham Hashim berkata, tidak ada pihak yang boleh menghalang sesebuah parti yang mahu bertanding di mana-mana kerusi kerana negara mengamalkan prinsip demokrasi.

“Selagi parti itu berdaftar, sah di sisi undang-undang dan memenuhi syarat untuk bertanding, mereka boleh bertanding di mana-mana sahaja kerusi yang dimahukan.

“Tak ada pihak yang boleh menentukan sesebuah parti itu boleh bertanding atau tak di sesebuah kerusi yang mereka mahukan,” katanya mengulas kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menyarankan agar mana-mana parti yang mahu bertanding di Parlimen Sungai Besar supaya mengukur baju di badan sendiri terlebih dahulu.

Izham berkata, tidak timbul isu Parlimen Sungai Besar kerusi tradisi Pas kerana pilihan terletak di tangan pengundi.

“Kalau kata ukur baju di badan sendiri, dah tentu Pas juga tak akan bertanding di Sarawak kerana itu bukan tempat mereka.

“Dari situ pun kita tahu parti yang berusia 60 tahun itu pun kehilangan wang pertaruhan kerana tak ukur baju di badan sendiri,” katanya.

Dalam pada itu, Izham sempat menasihatkan presiden Pas itu supaya berhenti mengeluarkan kenyataan sedemikian rupa. 

“Biarlah mana-mana parti nak bertanding di mana-mana sahaja kerusi yang mereka mahu sekali pun kerana itu hak mereka walaupun terpaksa kehilangan wang pertaruhan,” katanya.

Sumber: Sinar Harian