Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Tajuddin Abdul Rahman. |
KUALA LUMPUR - Program MyBeras akan dilaksanakan pada 1 Jun, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Tajuddin Abdul Rahman.
Beliau berkata kementerian telah mengenal pasti sebanyak 95,528 penerima MyBeras pada bulan pertama yang terdiri daripada 83,294 ketua isi rumah di bawah golongan miskin tegar daripada senarai e-Kasih dan 12,234 ketua isi rumah daripada senarai eDamak yang diselaraskan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).
"Proses pengedaran bantuan beras ini akan dilaksana oleh Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) melalui Pertubuhan Peladang Kawasan bagi penerima di Semenanjung, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Sabah bagi negeri Sabah dan Kementerian Pemodenan Pertanian Sarawak bagi negeri Sarawak," katanya.
Tajuddin berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Irmohizam Ibrahim (BN-Kuala Selangor) yang ingin mengetahui perkembangan terkini program MyBeras dan maklum balas yang diterima daripada masyarakat.
Katanya program MyBeras itu akan membendung ketirisan subsidi kerajaan sekaligus memastikan hanya golongan yang layak menerima bantuan 20 kilogram beras percuma setiap bulan.
Dalam pada itu, Tajuddin berkata seramai 1,680 belia telah menyertai Program Agroprenuer Muda yang menumpukan pembangunan usahawan muda sejak dilaksanakan pada 2014.
Katanya sejumlah RM20 juta telah diperuntukan di bawah Program Agroprenuer Muda dalam bentuk pemberian geran berupa barangan, latihan dan kursus teknikal serta pengurusan kewangan termasuk penyediaan kertas rancangan perniagaan.
Selain itu, kerajaan juga menyediakan bantuan pinjaman kewangan kepada golongan agropreneur muda melalui Bank Pertanian Malaysia Berhad (Agrobank) yang menawarkan pinjaman maksimum RM50,000 bagi projek baharu dan RM300,000 bagi membangunkan projek yang sedia ada.
Tekun Nasional turut menyediakan pinjaman maksimum RM50,000 bagi projek baharu dan RM300,000 bagi membangunkan projek sedia ada, katanya. - BERNAMA