Projek Tinju Gadis-Gadis Cilik Pakistan


Di sebuah kawasan kejiranan yang padat dan berdebu di Karachi, di selatan Pakistan, lapan budak perempuan berbaris di depan dinding simen dan menadah tangan ketika berdoa sebelum memulakan latihan tinju.

Sejak enam bulan lalu, atlet dalam pembikinan ini berlatih di Kelab Tinju Pak Shaheen di Lyari, satu daerah di Karachi yang terkenal dengan pergaduhan antara kumpulan samseng.

Sepanjang minggu, 12 remaja perempuan berusia lapan hingga 17 tahun, pergi ke kelab itu selepas waktu sekolah untuk menjalani latihan menumbuk selama beberapa jam dengan harapan satu hari nanti mereka mampu membawa pulang sebarang pingat untuk negara.

“Saya berlatih sejak kanak-kanak lagi. Insya-Allah, saya bakal menjadi seorang peninju dunia dan mengharumkan nama negara,” kata seorang pelajar di kelab itu, Urooj Qambrani, 15.

“Sejumlah kecil wanita Pakistan yang dilatih menjadi peninju dan bertanding dalam Sukan Asia Selatan pada tahun lalu,” kata Younis Qambrani, jurulatih yang mengasaskan kelab itu pada 1992.


Ujarnya, perkembangan sukan itu untuk lelaki dan wanita di Pakistan terganggu akibat kekurangan peralatan dan kemudahan leng­kap, tetapi keadaan kini bertambah baik.

Di dalam masyarakat Islam konservatif seperti di Pakistan, wanita dan kanak-kanak perempuan berdepan pelbagai halangan.

Golongan wanita berdepan ancaman Taliban untuk bersekolah dan keganasan ahli keluarga, termasuk apa yang dipanggil sebagai pembunuhan maruah, yang melihat saudara lelaki membunuh wanita yang dianggap mencemarkan nama baik keluarga.

Pada Oktober lalu, Persatuan Tinju Sindh me­nganjurkan kem untuk peninju wanita di Karachi, kali pertama kerajaan menyokong acara sukan untuk wanita di negara itu.


Beberapa remaja perempuan dari keluarga Younis yang berlatih di rumah dan menyertai kem itu, berta­nya kepada lelaki itu me­ngapa mereka tidak dibenarkan berlatih di kelabnya seperti peninju lelaki lain.

“Ada sebilangan wanita sangat berminat untuk berlatih dengan saya, tetapi akibat tekanan sosial, saya menolaknya.

“Tahun lalu seorang remaja perempuan datang kepada saya dan bertanya mengapa perempuan tidak dibenarkan berlatih.

“Saya tersentuh apabila dia berkata, tiada siapa mengajar mereka untuk mempertahankan diri,” jelasnya.


Sejak itu, beberapa remaja perempuan me­ngambil bahagian dalam pertandingan dengan memakai pakaian berwarna putih, tudung kepala dan sarung tangan tinju.

Bagi Anum Qambrani, 17, anak perempuan Younis, dapat peluang untuk berlatih secara rasmi di kelab itu umpama memenuhi hak keluarganya.

“Dua bapa saudara saya peninju bertaraf dunia dan ayah pula jurulatih.

“Sukan ini mengalir dalam darah kami,” kata­nya.

Sumber: myMetro