Ramon Marcote Bakal Kembali Ke Kedah Jelapang Padi?

Bekas Penolong Jurulatih Kedah, Ramon Marcote
ALOR SETAR - Bekas Penolong Jurulatih Kedah, Ramon Marcote dikatakan sedang "dipancing" untuk mengendalikan akademi bola sepak negeri Kedah yang dikenali sebagai Akademi Dato' Ahmad Basri (ADAB).

Menurut sumber, ura-ura untuk membawa Marcote kembali ke negeri Kedah sedang hangat dibincangkan untuk melatih anak-anak Kedah yang bakal menyertai ADAB nanti.

"Jangan pula ternganga jika Ramon Marcote menjadi ketua jurulatih ADAB (Akademi Dato' Ahmad Basri) selain menggunakan pembantu pencari bakat dari kalangan bekas pemain skuad Hijau Kuning yang pernah berjasa," kata Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri di laman blognya baru-baru ini.

Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri
Menurut Syed Mohd Rizal, difahamkan bahawa Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), program Pembangunan Bola Sepak Negara dan Kementerian Belia dan Sukan sedang bekerjasama untuk menjayakan penubuhan ADAB.

"Jangan terkejut jika dua minggu dari sekarang MOU antara KFA dan NFDP dimuktamadkan," katanya.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah sebelum ini memperkenalkan ADAB, sebuah akademi bola sepak bersempena bapa transfomasi pembangunan bola sepak Kedah, Allahyarham Dato' Ahmad Basri Md Akil.

Ramon Marcote pula sebelum ini pernah berjasa dengan mengejutkan ramai pihak apabila berjaya membawa pasukan Helang Merah beraksi di pentas final Piala Malaysia musim lalu, ketika Jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe, mengikuti kursus kejurulatihan di luar negara. -Kedahnews.com