Faridah Adnan,56, mengangkat Naimah Jaafar selepas rumah mereka rosak dalam kejadian ribut di Pokok Sen, semalam. |
ALOR SETAR - Seorang remaja perempuan orang kurang upaya (OKU) cedera ringan pada bahagian kaki dan bahu kanan selepas siling rumahnya runtuh akibat ribut yang turut merosakkan 16 rumah, dua kedai runcit, sebuah gerai makanan dan sebuah masjid di Pokok Sena, petang semalam (Selasa).
Ketika kejadian ribut kira-kira 6 petang itu, mangsa Naimah Jaafar, 17, merupakan OKU terlantar berada di bahagian ruang tamu rumah bersama ibunya Faridah Adnan, 56, dan kakaknya Basitah, 19.
Faridah yang bekerja sebagai tukang jahit berkata selepas kejadian tersebut dia mendukung anaknya itu ke bahagian dapur yang tidak terjejas serta menenangkan Naimah yang menangis kesakitan akibat dihempap serpihan siling itu.
Katanya anak bongsu dari tujuh beradik itu hanya mengalami kecederaan ringan, lebam pada kaki kanan dan calar pada bahu kanan akibat kejadian tersebut.
"Saya bersyukur kerana kami bertiga selamat. Saya tidak sempat selamatkan barangan lain yang berada di ruang tamu kerana mahu memberi perhatian kepada anak yang trauma akibat kejadian itu," katanya ketika ditemui di Kampung Paya, Pokok Sena, Rabu.
Faridah berkata dia bersama dua anaknya kini tinggal menumpang di rumah adik iparnya Zainab Omar, 51, buat sementara waktu sebelum proses baik pulih rumahnya dilakukan dalam tempoh terdekat.
Katanya beliau mengalami kerugian kira-kira RM15,000 selepas bumbung pada bahagian ruang tamu dan dua bilik rosak teruk termasuk beberapa peralatan elektrik dan mesin jahit miliknya yang basah akibat hujan.
Sementara itu Hasibullah Shaari, 67, berkata kejadian tersebut hampir mencederakan tiga cucunya, Muhammad Hazim Mohd Hafis, 7, Nur Balqis Mohd Hasni, 7, dan Muhammad Saqif Adam Mohd Hasni, 4, yang berada di bahagian dapur rumahnya selepas serpihan bongkah bata runtuh.
Katanya bongkah bata seberat lebih 50kg itu tiba-tiba runtuh selepas bumbung pada bahagian ruang tamu dan kajang rosak akibat ribut.
"Saya dan isteri Fatimah Hassan, 65, ketika itu turut bersama tiga cucu sebelum bongkah tersebut runtuh kira-kira dua meter dari tempat cucu kami berada. Saya bersyukur kerana kami semua selamat walaupun sebahagian bumbung rumah rosak teruk," katanya.
Dalam kejadian itu empat kampung terlibat iaitu Kampung Paya yang melibatkan lapan rumah, sebuah masjid, sebuah kedai runcit dan sebuah gerai makanan yang ranap manakala Kampung Menerung melibatkan lima rumah dan sebuah kedai runcit.
Di Kampung Budi melibatkan dua rumah dan Telaga Mas melibatkan sebuah rumah.
Sumber: mStar