Richard Morais Akan Dipanggil Semula Untuk Beri Keterangan

Datuk Richard Dillan Morais
KUALA LUMPUR – Datuk Richard Dillan Morais, adik kepada Timbalan Pendakwa Raya Datuk Anthony Kevin Morais yang mayatnya disumbat di dalam tong dram, akan dipanggil semula untuk memberi keterangan pada perbicaraan kes itu, Mahkamah Tinggi di sini diberitahu semalam.

Peguam Datuk N. Sivananthan berkata tujuan memanggil semula Richard Morais adalah untuk mengesahkan penerimaan borang daftar kematian dan permit penguburan Kevin Morais daripada Jabatan Perubatan Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang ditandatangani Dr Ahmad Hafizam Hasmi pada 22 Okt 2015.

“Kami memohon supaya pendakwaan memanggil semula (ke mahkamah) Richard Morais mengikut Seksyen 51A (5) Kanun Tatacara Jenayah. Semasa perbicaraan ini, Richard Morais tidak memberitahu mahkamah beliau ada menerima borang ini dan kami (pembelaan) tidak sedar tentang borang ini sehinggalah pagi ini.

“Jadi, kami ingin memohon supaya Richard Morais dipanggil semula ke mahkamah untuk pemeriksaan semula,” kata Sivananthan pada perbicaraan hari kesembilan kes pembunuhan Kevin Morais di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah.

Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin tidak membantah permohonan itu. – BERNAMA