Marhaini (dua, kiri) menyampaikan plak perasmian kepada Mohd Radzuan (tiga, kanan) disaksikan ahli jawatankuasa yang lain. |
SUNGAI PETANI - Rumah Ngaji Surau Saidina Abu Bakar As-Sidiq Zon Kenanga Sungai Petani, merupakan Rumah Ngaji pertama dilancarkan di daerah ini yang diharap menjadi model terbaik menggerakkan komuniti cintakan al-Quran.
Ketua Pegawai Eksekutif Warisan Ummah Ikhlas, Marhaini Yusoff berkata, dengan suasana Ramadan yang semakin hampir, Rumah Ngaji diyakini mampu menarik lebih ramai masyarakat bukan sahaja menjalani ibadat berpuasa dan bertarawih dengan lebih baik sebaliknya membaca al-Quran bagi menambah amalan.
“Lebih ramai orang hadir ke Rumah Ngaji menunjukkan lebih ramai umat yang mencintai al-Quran, hasilnya lebih ramai mempunyai nilai akhlak tinggi sepertimana disebutkan di dalamnya,” katanya ketika melancarkan Rumah Ngaji di Sungai Petani, baru-baru ini.
Menurutnya, sempena pelancaran Rumah Ngaji itu, Ustaz Azhan Atan yang juga sukarelawan dakwah dan personaliti terkenal dibawakan khas, bakal menjadi model mengimarahkan institusi berkenaan.
“Kita yakin dengan adanya ikon Ustaz Azhan, peranan Rumah Ngaji di Sungai Petani berjaya dilaksanakan bukan sahaja sebagai medium untuk masyarakat mengenali, memahami dan menghayati al-Quran tetapi menyatukan komuniti ke arah perpaduan ummah,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Rumah Ngaji Sungai Petani, Mohd Radzuan Ahmad berkata, dengan adanya Rumah Ngaji, orang ramai boleh membaca al-Quran di samping memohon reda Ilahi.
Selain itu, penggerak Rumah Ngaji Sungai Petani merangkap Pengerusi Skuad Sabar Surau Abu Bakar As-Sidiq, Mohd Firdaus Shuaib berkata, bagi merancakkan penubuhan Rumah Ngaji di sini, pihaknya akan memfokuskan pengisian skuad yang terdiri daripada remaja setempat.
Sumber: Sinar Harian