Syed Mohd Johan Rizal (dua dari kiri) bersama kepimpinan UMNO Bahagian Alor Setar. |
Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, biarpun baru 100 hari bergelar Menteri Besar, Ahmad Bashah telah banyak menabur bakti tanpa henti melalui pelbagai dasar, polisi dan program untuk rakyat di negeri berkenaan.
"Saya terfikir tentang label yang diberikan pada DS Ahmad Bashah yang dileluconkan dalam FB atau media sosial yang lain mahupun whatsapp group yang mengkritiknya sebagai 'MB Lena'.
"Jika itu tanggapan pihak terbabit, maka dalam 'lena'nya beliau boleh berbangga.
"Tanpa perlu disuburkan dengan ‘aura’ atau imej lakonan yang dicipta, semenjak 4 Februari usai mengangkat sumpah, rupanya sudah 53 sentuhan terlaksana dan sedang mengambil tempat untuk diisi," katanya yang dipetik dari blog rasminya, bilashahabudinberbicara.blogspot.my.
Antara sentuhan Ahmad Bashah yang telah dilaksanakan adalah seperti program-program BARAKAH, IMAN (Internship Mahasiswa Anak Negeri) dan berusaha mendapatkan tempat bagi anak Kedah yang cemerlang untuk meneruskan pengajian ke universiti terkenal dunia seperti Harvard, Oxford, Cambridge, Princeton, Yale dan MIT.
Selain itu katanya, Ahmad Bashah turut melunaskan janji 'terbengkalai' oleh bekas-bekas Menteri Besar terdahulu kepada pemain dan pegawai Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) ketika membawa pasukan Kedah meraih kejayaan "double treble" pada 2007/2008.
Katanya, hubungan antara Menteri Besar dan Pegawai Kerajaan Negeri (KCS) yang dulunya disifatkan 'keruh' di zaman Dato' Seri Mukhriz Tun Mahathir turut telah dijernihkan dengan baik oleh Ahmad Bashah, menjanjikan kemuafakatan bersama di dalam pentadbiran kerajaan negeri.
Sementara itu, Ahmad Bashah difahamkan turut menetapkan KPI kepada semua Exco Kerajaan Negeri untuk dipenuhi bagi setiap tiga bulan.
Terbaru katanya, Ahmad Bashah telah menyumbangkan sebanyak RM1.7 juta kepada sekolah-sekolah agama rakyat di Kedah, manakala setiap pondok menerima peruntukan tahunan sebanyak RM10,000 dan RM20,000 untuk keperluan membeli kitab.
"Pada 17 Mei yang lalu, setiap pondok diagihkan RM10,000, biaya membeli kitab pengajian RM20 ribu setiap pondok diperuntukkan.
"Lebih mengharukan RM1.7 juta diberikan untuk biaya anak-anak generasi ini yang berada di Sekolah Agama Rakyat, buat mengurangkan beban ibu bapa.
"Di Pondok Pak Ya, pada tarikh yang sama, elaun khas untuk para Hafiz dan hafizah diumumkan terutama pada golongan Huffaz yang menabur bakti di Kedah," tulisnya lagi.
Katanya, rakyat dan kontraktor kecil di Kedah juga menerima 'durian runtuh' apabila Ahmad Bashah mendengar rungutan mereka dan mengumumkan kerja-kerja pembaikan jalan-jalan negeri sepanjang 13,323 kilometer.
"Keperluan duniawi tidak ditinggalkan sama sekali walau ukhrawi dititikberatkan, menyedari dunia adalah jambatan ke akhirat. Rungutan jalan berlubang, berlopak, tidak di tar, pada 2 Mei 2016.
"Sepanjang 13,323 km jalanraya di seluruh negeri dinaik taraf, melibatkan biaya RM170 juta dan sekaligus 600 orang kontraktor Bumiputera kelas G1 yang selama 2 tahun yang lalu dahagakan kerja tiba-tiba mendapat rezeki dan laba," jelasnya.
Justeru itu katanya, sekiranya Ahmad Bashah terus menerus dihina sebagai "Menteri Besar lena", maka beliau boleh berbangga dengan pencapaiannya berbakti kepada rakyat Kedah berbanding Mukhriz yang dikatakan hanya meraih populariti dengan gemar berselfie sahaja.
Mukhriz selepas meletak jawatan sebagai Menteri Besar sempat memperlekeh Ahmad Bashah di mata rakyat Kedah dengan pesanan agar 'tidak lena' sehingga menjadi ikutan penyokongnya di negeri tersebut. -Kedahnews.com