Anggota Parlimen Taiping, Nga Kor Ming |
KUALA LUMPUR - Anggota Parlimen Taiping, Nga Kor Ming menzahirkan perasaan kesalnya yang mendalam kerana menyiarkan sekeping foto Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, bersama-sama beberapa anggota Kabinet dalam laman Facebooknya pada Mac tahun lepas.
Dalam kenyataannya bagi tujuan merekodkan persetujuan penghakiman persetujuan, yang dibacakan peguamnya, Alex Tan Chie Sian di Mahkamah Tinggi, Nga berkata dalam semangat muhibbah, beliau menarik balik komen berkaitan gambar itu dan berjanji tidak akan menyiarkan perkara serupa pada masa akan datang.
"Saya difahamkan bahawa gambar yang dimaksudkan itu diambil di China ketika Perdana menteri membuat persiapan untuk pulang ke Malaysia apabila mendapat perkhabaran tentang kemangkatan Sultan Perak, Azlan Shah, dan oleh itu, saya menyatakan perasaan kesal yang amat mendalam kerana gambar itu telah disalah anggap dan dilihat secara di luar konteks," katanya.
Sehubungan itu, saman fitnah yang difailkan perdana menteri dan isteri tehadap Nga berhubung gambar yang disiarkan Nga dalam laman Facebooknya selesai apabila kedua-dua pihak bersetuju terhadap penghakiman persetujuan.
Peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun, yang mewakili Najib and Rosmah, berkata susulan kepada kenyataan Nga itu, kliennya bersetuju menerima penghakiman persetujuan, yang direkodkan Hakim Siti Khadijah S. Hassan Badjenid.
Mohd Hafarizam juga memberitahu mahkamah bahawa berikutan keikhlasan Nga dalam menzahirkan kekesalan mendalam, kesediaan menarik balik komen dan janjinya untuk tidak akan menyiarkan perkara sama pada masa akan datang, maka plaintif (Najib dan Rosmah) menerima kenyataan yang dibuat defendan.
Peguam itu berkata klien beliau mengarahkan agar Nga memuat naik kenyataannya yang dibacakan di mahkamah hari ini dalam akaun dan laman Facebooknya dalam masa tujuh hari mulai hari ini dan penghakiman persetujuan itu perlulah dianggap sebagai penyelesaian secara penuh dan muktamad daripada semua punca tindakan, dakwaan, tuntutan serta kos dan perkara itu diselesaikan tanpa perintah berkaitan kos.
Pada 11 Jun tahun lepas, Najib, dalam kedudukan peribadinya, dan Rosmah, memfailkan saman terhadap Nga dengan mendakwa bahawa pada 29 Mac 2015, defendan memuat naik sekeping foto mereka bersama-sama beberapa anggota Kabinet dan pegawai kanan Wisma Putra dalam akaun Facebooknya, yang didakwa diiringi dengan kata-kata yang merendah-rendahkan mereka.
Plaintif mendakwa tulisan Nga itu memfitnah mereka dan mudah diakses para pengguna Internet di seluruh dunia.
Najib mendakwa kenyataan Nga itu, antara lain, membawa maksud beliau menyalahgunakan kuasa dan mandatnya sebagai perdana menteri untuk kepentingan sendiri dan isteri beliau.
Rosmah pula mendakwa kenyataan defendan itu membawa maksud beliau seorang yang mementingkan diri sendiri kerana didawka mempengaruhi suaminya sebagai perdana menteri supaya menyalahgunakan kedudukan beliau dan didakwa mencampuri sistem pentadbiran negara.
Dalam kenyataan media kemudian, Mohd Hafarizam berkata tindakan yang diambil kliennya terhadap defendan adalah bagi mendapatkan ketenangan dan pewajaran serta bukan berniat tidak baik untuk meletakkannya dalam keadaan menjelikkan. - BERNAMA