"Sampai Hati Awie Cakap Saya Macam Tu.." – Amy Search

Vokalis Search, Amy
KONFLIK yang berlaku antara kumpulan Search dan pemain dramnya Yazit Ahmad dilihat bagaikan tiada tanda-tanda bakal terungkai.

Dalam pada ketegangan itu, vokalis Search iaitu Amy atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman, 57, turut meluahkan rasa kecewanya dengan kenyataan yang dikeluarkan rakan sealiran, Awie berhubung isu Yazit.

Menurut Amy, kenyataan Awie yang merupakan vokalis Wing telah melukakan hatinya apabila ibadahnya selaku pemilik tahfiz diperkecilkan.

“Saya kecewalah dan pada saya ia amat melukakan hati saya. Sampai hati dia cakap saya macam itu, sampaikan ibadah saya dipijak-pijak.

“Tapi saya tidak salahkan dia (Awie) kerana dia mungkin dengar dari sebelah pihak sahaja,” jelasnya kepada stesen Astro Awani.

Menerusi laman portal Projek MMO, Awie baru-baru ini tampil bersuara menasihati Amy Search agar memberi perhatian rakan sekumpulannya Yazit yang telah sakit bertahun-tahun.


Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman turut berkata, Amy selaku pemilik tahfiz tidak wajar mengabaikan rakan dalam kesulitan.

“Kalau saya dalam kumpulan itu, saya akan korbankan sedikit masa untuk menolong. Ini saham akhirat kita. Fikir dekat situ saja.

“Tidak guna kita cerita pasal tahfiz dan jubah tetapi soal akhirat dibuat main macam ini,” katanya ketika diminta mengulas perselisihan di antara Yazit dan ahli-ahli kumpulan Search.

Awie dan Amy pernah digandingkan bersama di atas satu pentas.
Selain itu, Awie turut berharap agar ahli-ahli Search bermuhasabah dan mengetepikan ego masing-masing kerana pengasas kumpulan rock itu, Yazit sedang sakit dan muzik hanyalah satu-satunya sumber pencariannya.


Terdahulu, Amy ada menafikan dia dan ahli-ahli Search yang lain mengabaikan Yazit sepanjang enam tahun menerima rawatan di hospital.

Konflik antara Yazit dan Amy timbul setelah pemain dram itu mendakwa tidak menerima wang pendahuluan ‘Konsert Search 35 tahun’ sehingga perkara itu dilaporkan ke balai polis. -Kedahnews.com