Lynn |
WALAUPUN terdapat desas-desus yang mengatakan Lynn sudah bercerai, namun dakwaan itu telah disangkal oleh empunya badan dan menegaskan bahawa dia masih lagi bergelar isteri.
Pelakon Sharifah Norazleenda Al Khaired terdahulu pernah memfailkkan permohonan cerai di Mahkamah Syariah Hulu Langat pada Oktober tahun lalu namun menarik balik permohonan itu pada Disember tahun sama.
Lynn, 44, ketika ditemui sebuah akhbar berkata, dia masih bahagia dengan suami yang dikahwini sejak 11 tahun lalu dan dikurniakan empat cahaya mata.
“Masalah tetap ada di mana-mana sama ada seseorang itu masih solo, janda atau isteri orang. Saya hanya ikut arus dan kalau ada masalah saya akan bersabar, berdoa, sibukkan diri dan berusaha menyelesaikannya seperti orang dewasa,” katanya.
Jelas Lynn lagi, sebagai manusia memang tidak lari dari masalah, apa yang dilakukannya ialah sentiasa bertenang dan menerima apa sahaja yang telah ditentukan oleh Allah.
“Sebagai manusia, kita tidak boleh lari dari masalah dan kita mesti hidup dalam realiti serta menerima apa saja ketentuan Allah SWT dengan tenang,” katanya.
Tambah kakak kepada pelakon dan pengacara Sharifah Syahirah ini, dia akui mengelak dari berjumpa dengan media sekiranya rumah tangganya bergolak kerana tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan dan memilih untuk berdiam diri.
“Banyak hati yang perlu saya jaga, jadi lebih saya berdiam diri,” katanya.
Perkembangan terbaru, Lynn baru sahaja menyelesaikan penggambaran filem arahan Osman Ali berjudul Pinjamkan Hatiku di samping Ayda Jebat, Farid Kamil dan Shaheizy Sam. – Kedahnews.com