"Saya Tak Boleh Gelabah Sebagai Seorang Pemimpin" - Mohd Najib

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak
PUTRAJAYA - Biarpun kerap kali diasak dengan serangan dan kritikan daripada pelbagai pihak, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dilihat tetap tenang dan meneruskan tanggungjawabnya seperti biasa.

Berkongsi rahsia ketenangannya itu, Najib yang juga Presiden Umno berkata:  "Saya tidak boleh gelabah sebagai seorang pemimpin."

Katanya, beliau juga sedar bahawa setiap pemimpin atau individu itu pasti tidak terlepas daripada berdepan ujian Allah tidak kira apa cara sekalipun.

Malah, Najib berkata cabaran yang sedang dihadapinya kini tidaklah begitu besar jika dibandingkan dengan zaman bekas-bekas perdana menteri seperti Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein dan Tun Dr Mahathir Mohamed.

"Zaman Allahyarham Tun Razak juga berdepan dengan ujian seperti insiden 13 Mei manakala zaman Dr Mahathir pun lagi banyak ujian, sampai parti Umno diharamkan, krisis kewangan yang dahsyat, orang bankrap begitu ramai dan masalah  (Datuk Seri) Anwar Ibrahim," katanya ketika ditemuramah bersempena sambutan Ulang Tahun Ke-70 Umno di pejabatnya di sini baru-baru ini.

Temuramah itu dikendalikan oleh Dekan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA Prof Dr Azizul Halim Yahya.

"Zaman saya, isunya tidak begitu besar sebenarnya tetapi disebabkan oleh media sosial dan pihak menggunakan akhbar luar yang menyebabkan tekanan itu agak lebih sikit," kata Najib.

Menurut Perdana Menteri, isu-isu yang dihadapi olehnya tidak seperti krisis kewangan Asia pada satu ketika dahulu atau parti Umno diharamkan disebabkan asas (fundamental) ekonomi dan politik negara yang masih kukuh.

"Cuma gambaran persepsi, orang putih kata 'noise level' itu kuat sedikit kerana peranan dimainkan oleh media sosial dan akhbar asing," katanya.

Ditanya bagaimana beliau memperoleh semangat untuk terus bertahan sehingga hari ini, Najib berkata ia berbekalkan sokongan pemimpin dan anggota Umno yang masih utuh terhadapnya serta keyakinan mereka terhadap kepimpinannya.

"Soal serangan ini menjadi lebih sebab media sosial. Dulu tak ada media sosial, tetapi apabila ada sosial media, apa-apa pun dia (berita) cepat jadi viral.

"Inilah menjadi cabaran baharu dalam persekitaran yang berubah. Saya merupakan presiden Umno yang berdepan dengan persekitaran (ini). Kalau dahulunya, tidak ada macam ini. Saya tidak tahulah kalau dulu ada macam ini, mungkin presiden Umno dulu menghadapi tekanan yang lebih dahsyat," katanya.

Bagaimanapun, Najib menegaskan beliau tabah kerana beliau yakin apa yang dibuat itu adalah betul dan dengan niat yang baik untuk kebaikan parti, rakyat dan negara.

Mengenai langkah-langkah tertentu menangani cabaran media sosial, Najib berkata pemimpin dan anggota Umno perlu dilatih menjadi penggerak dan pengamal media sosial yang aktif di semua peringkat.

Katanya, Umno juga mesti berubah daripada mempunyai kekuatan dan kemahiran dalam politik lama kepada politik serta persekitaran baharu sejajar dengan perkembangan internet.

"Walaupun kita setakat dengan Facebook dan Twitter, sekurang-kurangnya kita boleh buat komen dalam Facebook dan Twitter. Jadi, inilah saya anggap sebagai politik baharu dalam persekitaran baharu," jelasnya.

Najib berkata, sekiranya Umno ingin berjaya sebagai parti yang mempunyai kelangsungan pengaruh dan kekal relevan sepanjang zaman, maka Umno perlu berubah serta mempunyai kemampuan membuat adaptasi terhadap persekitaran baharu itu.

"Kita sudah terima Malaysia merupakan sebuah negara yang terbuka. Maknanya, kita sudah terima apa juga perkembangan dari segi teknologi agar menjadi sebuah negara yang moden dan progresif.

"Jadi, apa juga teknologi media sosial berdasarkan perkembangan internet itu, kita sudah terima di sini memandangkan Malaysia merupakan sebuah negara di mana maklumat itu terbuka. Jadi, kita hendak ubah itu tidak boleh, kita tak boleh undur ke belakang," jelasnya. - BERNAMA