PIHAK polis Subang Jaya dalam satu kenyataan kepada sebuah akhbar tempatan telah menafikan berlakunya kes penculikan yang membabitkan warga Filipina didalangi oleh warga Nigeria seperti yang diviralkan.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari, berkata, mangsa yang berusia 44 tahun telah tampil mengaku wanita dalam gambar itu adalah dirinya.
Dia telah membuat laporan polis berhubung perkara itu di samping menafikan diculik tiga warga asing.
Wanita itu mendakwa dirinya dalam keadaan terlalu mabuk selepas menghadiri parti hari jadi dan warga Nigeria itu cuba untuk membantunya pulang ke rumahnya yang terletak di Pangsapuri Lagoon Perdana, Bandar Sunway.
Menurut Mohammad Azlin, penafikan yang dibuat oleh wanita itu sekali gus menolak dakwaan terjadi kejadian culik dan rogol oleh warga Nigeria.
Difahamkan juga, wanita itu membuat laporan polis untuk membersihkan nama ketiga-tiga warga asing itu.
“Mangsa seorang suri rumah beritahu dia hadir membuat laporan polis kerana ingin bersihkan nama ketiga-tiga lelaki warga Afrika dalam gambar tersebut yang mana seorang daripadanya adalah teman lelakinya,” katanya.
Gambar yang bertajuk ‘Cepat Viralkan!!! Geng Negro Culik Dan Kendurikan Amoi Beramai-ramai di Subang Jaya’ disebarkan oleh pihak tertentu secara tanpa usul periksa mengenai kejadian tersebut. –Kedahnews.com