Jamal kanan ketika sidang media di Sungai Besar, semalam. |
SABAK BERNAM - Umno menyenaraikan sebanyak tujuh nama sebagai calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar, kata Ketua Umno Bahagian, Datuk Jamal Md Yunos.
Beliau berkata, senarai itu telah dihantar oleh Umno Bahagian kepada Badan Perhubungan Umno Negeri pada April 2014 sebagai calon pilihan raya umum akan datang dan masih boleh digunapakai sehingga kini bagi calon PRK kawasan itu.
Jamal yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sungai Besar bagaimanapun enggan mendedahkan senarai tujuh nama berkenaan.
"Yang saya boleh sebut bahawa saya tidak ada dalam tujuh nama tersebut.
"Kita tak hantar senarai (sekali lagi). Terpulang kepada Badan Perhubungan Umno Negeri untuk mempertimbangkannya (senarai asal) dan terserah kepada pucuk pimpinan parti membuat keputusan," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Wanita Umno Bahagian Sungai Besar di sini, Khamis.
Turut hadir Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa, Ketua Wanita, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan pemangku Ketua Wanita Umno Bahagian Sungai Besar, Zubidah Maskor.
Ditanya adakah senarai yang dikemukakan dua tahun lalu itu masih relevan, Jamal yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sungai Besar berkata, kesemua yang disenaraikan masih komited menjalankan tanggungjawab masing-masing sehingga kini.
"Kalau tujuh orang ini masih tidak tercalon, kami bersedia untuk menerima siapa sahaja calon yang diputuskan oleh pucuk pimpinan parti," katanya.
Beliau percaya dan yakin bahawa Presiden Umno dan Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak mempunyai pandangan yang amat luas dan memastikan kemenangan PRK Sungai Besar di bawah BN.
Bagaimanapun Jamal turut memberi gambaran bahawa nama beliau sendiri turut akan dikemukakan sebagai calon sekiranya Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sekinchan-DAP, Ng Suee Lim bertanding.
PRK Parlimen Sungai Besar bakal diadakan berikutan penyandangnya, Datuk Noriah Kasnon yang juga Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi maut bersama lima yang lain dalam nahas helikopter di Sarawak, minggu lalu.
Majlis tahlil buat Allahyarham Noriah turut diadakan selepas mesyuarat itu pada Khamis.
Sumber: mStar