Sesak Nafas, Azmil Mustapha Dimasukkan Ke Hospital Langkawi

Azmil Mustapha
LANGKAWI - Pelakon lelaki terkenal menerusi filem Ali Setan, Azmil Mustapha, 63, dilapor terpaksa dimasukkan ke Hospital Langkawi, Kedah pada petang semalam selepas mengadu sesak nafas.

Pelakon popular era 80-an itu dimasukkan ke hospital berkenaan kali kedua selepas mengadu lemah dan menggigil di bilik penginapannya, di sini.

Azmil dirawat di unit rawatan kecemasan hospital itu kira-kira pukul 1 pagi selepas mengalami sesak nafas sebelum dibenarkan keluar wad pada pukul 4 pagi Ahad.

Bagaimanapun, dia dimasukkan semula 12 jam kemudian selepas mengalami sesak nafas sekali lagi.

Azmil berada pulau ini sejak empat hari lalu bagi menyampaikan siri ceramah agama di beberapa surau termasuk di Kampung Lubuk Setol, Bayas dan Kedawang, Langkawi.

Azmil dijadual pulang ke Kuala Lumpur pada Selasa ini, namun bergantung pada kesihatannya.

Sebelum ini, pada 14 Januari lalu, pelakon ini dirawat di Unit Rawatan Kardiologi, Hospital Putrajaya akibat sakit jantung. -Kedahnews.com